BANGI, — Program Penggerak Pendaulat Borneo (PPB 10.0) anjuran mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sekadar aktiviti kesukarelawanan, sebaliknya menjadi platform penting dalam membentuk kesedaran mahasiswa mengenai jurang pembangunan yang masih wujud antara bandar dan pedalaman, kata Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman.
Menurut pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM itu, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat sendiri realiti kehidupan komuniti pedalaman yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas, termasuk bekalan elektrik tetap.
“Mahasiswa tidak hanya memasang lampu tetapi mereka menyaksikan sendiri realiti ketidaksamarataan pembangunan antara bandar dan pedalaman,” jelas beliau dalam tulisannya mengenai program tersebut.
Program yang dilaksanakan di Kampung Pamaitan, Ranau dan Kampung Lumampau, Sipitang itu melibatkan pemasangan puluhan stesen janakuasa mudah alih suria serta lampu jalan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
Menurut Zaizul, inisiatif tenaga suria tersebut memberi impak langsung kepada keselamatan dan kesejahteraan penduduk, selain mengurangkan kebergantungan kepada generator yang membebankan dari segi kos bahan api.
Bagaimanapun, beliau menegaskan program seperti ini juga harus dilihat dalam konteks lebih luas sebagai refleksi terhadap isu ketidaksamarataan pembangunan asas yang masih berlaku di negara ini.
Katanya, pengalaman lapangan tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran sivik mahasiswa, sekali gus mengangkat peranan universiti sebagai institusi yang melahirkan bukan sahaja graduan, tetapi individu yang memahami tanggungjawab sosial mereka.
Zaizul turut menekankan bahawa pembangunan komuniti memerlukan pendekatan berterusan, termasuk pemantauan, pemindahan pengetahuan dan model kelestarian yang mampan bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada penduduk.
Beliau menyifatkan program seperti PPB sebagai model pembangunan sosial berskala kecil yang berpotensi mencetuskan kesedaran lebih besar mengenai keperluan mempercepat pembangunan infrastruktur luar bandar.
“Mahasiswa telah menyalakan lampu di pedalaman. Kini cabarannya ialah memastikan cahaya itu tidak padam apabila program berakhir,” katanya.



