Belum ada hitam putih kekosongan jawatan, Hamzah masih Ketua Pembangkang – Timbalan Speaker

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen setakat ini.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor berkata, beliau dan Alice Lau setakat ini masih belum menerima sebarang arahan atau notis daripada pihak pembangkang yang menunjukkan terdapat kekosongan jawatan.

“Setakat ini, walaupun soalan ini dibangkitkan ketika saya mempengerusikan sidang, ia membabitkan struktur asas Dewan Rakyat iaitu Ketua Pembangkang.

“Setakat ini, saya percaya Timbalan Speaker yang seorang lagi juga belum menerima sebarang arahan. Saya percaya belum ada lagi dokumen rasmi atau hitam putih daripada pihak pembangkang yang menyatakan terdapat kekosongan jawatan tersebut.

“Pemakluman mengenai kekosongan jawatan ini perlu dibuat secara rasmi bagi memastikan ia sah dari perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau mengulas persoalan SN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang susulan pemecatan beliau daripada Parti Bersatu baru-baru ini.

Ramli turut menasihati Ahli Parlimen supaya mengekalkan adab dan mengelakkan kenyataan yang boleh menyinggung pihak lain.

“Ingat, ini adalah bulan puasa. Janganlah bercakap sesuka hati. Jika ingin membangkitkan sesuatu isu, teruskan ke pokok perbincangan dan jangan buang masa. Segala perkara di Dewan ini harus difokuskan kepada rakyat dan tiada yang lain,” katanya menurut Utusan.

Bagaimanapun, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian mempertikaikan niat di sebalik soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen DAP itu dan menggesa beliau supaya tidak mencampuri urusan parti lain.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Hamzah kerana tindakannya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat