KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tokoh agama bukan maksum dan bukannya tidak boleh ditegur.
Tetapi katanya, jika hampir setiap hari hanya tokoh agama yang ditegur, melindungi perasuah pun dikatakan tokoh agama yang melakukannya, pecah belah masyarakat pun dikatakan tokoh agama yang buat, seolah-olah masalah negara ini hanyalah berkisar kerana tokoh agama.
“Jika demikian naratifnya Perdana Menteri, ia tanggapan salah,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Semalam, Anwar menegur segelintir pihak yang menggunakan kedudukan sebagai tokoh agama untuk menimbulkan permasalahan sekali gus memecah-belahkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Perdana Menteri berkata, tindakan berselindung di sebalik nama agama itu hanya mencetuskan polemik serta merosakkan keharmonian dan usaha membangunkan negara.
Katanya, meskipun Islam sebagai agama rasmi di Malaysia namun beliau tetap memberi jaminan hak serta kebebasan beragama kepada kaum lain seperti yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan.



