Pameran Naratif : Mencipta Masa Depan Melalui Rekaan Tekstil di Muzium Tekstil Negara sehingga 31 Mei ini

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melalui Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Jabatan Seni Reka Teknologi Tekstil, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang mengadakan ‘Pameran Naratif: Mencipta Masa Depan Melalui Rekaan Tekstil’ di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara bermula 15 Feb hingga 31 Mei ini.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Hj. Badi di Lobi Kaca, Muzium Tekstil Negara, Jalan Sultan Hishamuddin, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM, Prof. Madya Dr. Zainuddin Ibrahim; Pengarah Muzium Tekstil Negara, Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman; dan Ketua Program, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM, Dr. Norizan Sajar.

JMM dalam kenyataan berkata, pelaksanaan pameran ini merupakan salah satu bidang kerjasama yang termeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU)
di antara JMM dan UiTM.

“Pameran ini menghimpunkan hasil kerja 16 orang pelajar dari Program Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Teknologi Tekstil, Fakulti
Seni Lukis & Seni Reka, UiTM mempamerkan hasil kreatif dan konseptual oleh pelajar dalam meneroka tekstil sebagai karya seni kreatif ekspresif dan produk yang berdaya maju secara komersial,”kata kenyataan itu.

Katanya, melalui eksperimen bahan, inovasi permukaan, dan naratif rekaan yang bernas, pelajar mempamerkan tekstil sebagai medium dinamik yang merapatkan tradisi, kemampanan dan amalan kontemporari.

“Pameran ini juga mengetengahkan tafsiran semula teknik kreatif tekstil, khususnya batik, tenunan, percetakan konvensional dan digital tekstil. Umpamanya, batik diterokai melangkaui sempadan konvensionalnya melalui motif eksperimen, teknik resis berlapis, dan aplikasi warna kontemporari. Percetakan tekstil dihasilkan secara artistik dan dikomersilkan.

“Manakala tenunan digunakan untuk mencipta permukaan, tekstur dan bentuk yang inovatif yang mana sesetengahnya menjangkau kepada ekspresi arca dan konsep.

“Hasil karya tekstil ini dipamerkan sebagai medium penceritaan yang berkuasa, menangani tema identiti, warisan, alam sekitar dan kemungkinan masa hadapan,”katanya lagi.

Ujarnya, pengunjung akan memperlihat karya
yang dibangunkan sebagai karya seni tekstil kendiri bersama reka bentuk yang bertujuan untuk aplikasi fesyen, dalaman dan gaya hidup, mencerminkan orientasi dwi kreatif dan komersial dalam pameran ini.

“Bidang kerjasama melalui MoU seumpama ini menyediakan platform kepada pelajar sebagai persediaan pelajar sebelum menuju ke dunia
professional.

“Selaras dengan dasar dan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui agenda Pembinaan Negara Bangsa, usaha seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi teras kekuatan Malaysia, ”menurut JMM.

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama meraikan visi pereka generasi baharu menerusi pameran ini. Maklumat lanjut layari laman sesawang www.jmm.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Muzium Tekstil Negara. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat