Rafizi sahkan akan saman Caprice, tegaskan insinuasi juga dianggap fitnah

KUALA LUMPUR, — Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau akan memfailkan saman terhadap pempengaruh media sosial Caprice susulan tuduhan dan insinuasi yang menurutnya telah menjejaskan reputasinya.

“Saya akan saman. Kami sudah beri peluang untuk tarik balik dan minta maaf, tetapi dia tidak buat. Dari segi undang-undang, insinuation juga dianggap fitnah,” katanya dalam podcast terbaharu beliau.

Tindakan undang-undang itu dibuat susulan beberapa hantaran dan video Caprice di media sosial yang mempersoalkan kedudukan kewangan Rafizi, termasuk dakwaan yang mengaitkan beliau dengan dana berjumlah besar serta kemungkinan konflik kepentingan berkaitan entiti korporat tertentu.

Caprice dalam kenyataan media terbaharu bagaimanapun menafikan bahawa beliau pernah menuduh Rafizi terlibat dalam rasuah, sebaliknya mendakwa hanya mengemukakan persoalan berhubung kemungkinan konflik kepentingan dan meminta penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Pemengaruh itu juga dilaporkan telah menghantar notis tuntutan kepada Rafizi, menggesa beliau menarik balik kenyataan tertentu dan memohon maaf, selain memberi bayangan tindakan undang-undang sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.

Pertikaian antara kedua-dua pihak tercetus selepas Caprice secara terbuka membangkitkan persoalan berkaitan kedudukan kewangan dan urusan korporat yang dikaitkan dengan Rafizi, yang kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai naratif yang tidak berasas.

Rafizi sebelum ini menegaskan beliau bersedia mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang bagi membersihkan reputasinya daripada sebarang tuduhan yang menurutnya dibuat tanpa bukti. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat