KUALA LUMPUR – Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dihukum berdasarkan sentimen atau dorongan politik.
Menurut Ibrahim, kenyataan tersebut kelihatan baik di atas kertas. Namun dalam politik, rakyat tidak menilai kata-kata semata-mata. Rakyat menilai rekod.
“Jangan berbicara tentang prinsip jika rekod sendiri bercanggah. Rakyat tidak lupa. Rakyat tidak pekak. Rakyat menyimpan segala maklumat.
“Sebelum PRU15, pimpinan PKR secara terbuka berikrar mahu “menangkap Azam Baki” sekiranya memenangi pilihan raya. Itu bukan khabar angin, tetapi ucapan di pentas yang direkod, disiarkan dan diulang.
“Justeru saya bertanya secara terbuka, pada waktu itu bukankah ia juga dorongan politik? Atau dorongan politik hanya dianggap wajar ketika menjadi pembangkang dan tidak wajar apabila sudah berada dalam kerajaan? soal beliau.
Tegas Ibrahim, prinsip tidak boleh berubah mengikut kedudukan.
“Jangan menggunakan kuasa untuk menafikan kenyataan lama. Jangan menggunakan jawatan untuk memadam rekod sejarah.
“Rakyat hari ini memerhati dengan teliti. Kenyataan lama dan baharu boleh dibandingkan dalam masa beberapa saat. Zaman rakyat mudah lupa telah berakhir.
“Saya menghormati pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menyatakan bahawa isu rasuah tidak wajar dipolitikkan. Namun saya ingin bertanya secara jujur, jika rasuah bukan isu politik, maka apakah fungsi politik dalam mengurus negara? Pada hemat saya, ABIM perlu terus memainkan peranan sebagai suara amar makruf nahi mungkar yang bebas dan berprinsip,” katanya.
Ibrahim berkata, politik bukan pertandingan retorik. Politik adalah amanah dan tanggungjawab mengurus negara. Jika rasuah tidak boleh dibincangkan dalam politik, maka politik akan kehilangan makna.
“Saya juga mengambil maklum pandangan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mahu institusi seperti SPRM diperkukuh. Saya bersetuju. Namun institusi yang kukuh tidak perlu takut kepada persoalan dan semakan.
“Jangan menjadikan alasan mempertahankan institusi untuk mengelakkan keperluan konsistensi dan ketelusan. Ketelusan tidak melemahkan institusi. Sebaliknya, sikap pilih kasih atau kepimpinan yang dipersoalkan integritinya boleh menjejaskan keyakinan awam. Badan pemantau seperti MCW seharusnya mengekalkan tahap integriti dan kebebasan yang tinggi agar dihormati masyarakat. Dalam hal ini, peranan organisasi masyarakat sivil seperti C4 juga dilihat tegas dan konsisten dalam usaha memerangi rasuah.
“Dalam Islam, amar makruf nahi mungkar bukan tugas bermusim. Ia wajib dilaksanakan sama ada ketika susah mahupun ketika berkuasa. Jika prinsip berubah apabila memperoleh kuasa, maka itu bukan prinsip, tetapi sikap tidak konsisten.
“Putr tidak mengamalkan dua standard. Jika salah, tetap salah. Jika benar, tetap benar. Tidak kira kawan atau lawan, dan tidak kira siapa yang memerintah di Putrajaya.
“Kenyataan ini dibuat secara terbuka kerana ia menyentuh soal integriti negara. Pada saya, prinsip tidak tunduk kepada jawatan, tidak tunduk kepada kuasa dan tidak tunduk kepada sesiapa terdahulu, kini dan selamanya. Insya-Allah,” ujar Ibrahim.



