MRM bidas DBKL, dakwa sebelum ini diberitahu tidak perlu permit untuk Street Dakwah

KUALA LUMPUR, 18 Feb 2026 — Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendedahkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini pernah memaklumkan aktiviti Street Dakwah yang dijalankan pertubuhan itu tidak memerlukan permit kerana tidak melibatkan sebarang urusan perniagaan dan dilaksanakan di ruang awam.

Pengerusi MRM, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan hadir sendiri ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL bagi mendapatkan kepastian berhubung keperluan lesen sebelum menjalankan aktiviti tersebut.

Menurut beliau, pihak DBKL ketika itu menjelaskan bahawa tiada permit diperlukan kerana aktiviti berkenaan bukan berbentuk perniagaan dan tidak dijalankan di dalam premis komersial.

“Sejak awal, MRM mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan kepastian daripada pihak DBKL berkaitan keperluan lesen. Saya sendiri hadir ke Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL untuk bertanya secara langsung dan jawapan yang diberikan jelas bahawa tiada lesen diperlukan kerana tiada urusan perniagaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang 14 tahun aktiviti Street Dakwah dijalankan di sekitar Bukit Bintang, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan terhadap MRM, termasuk pada hari kejadian apabila khemah dan bahan dakwah pertubuhan itu disita oleh pihak berkuasa tempatan.

“Sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan seperti yang didakwa, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang akan mengaku dan membayar kompaun sewajarnya,” katanya.

Muhammad Azim turut mempersoalkan alasan DBKL bahawa reruai MRM menghalang laluan awam, dengan menyatakan lokasi tersebut turut digunakan oleh penghibur jalanan hampir setiap hari selepas aktiviti Street Dakwah tamat.

Menurut beliau, lokasi sama juga pernah digunakan dalam program bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan pada 30 Januari lalu, sekali gus menunjukkan kawasan berkenaan digunakan untuk pelbagai aktiviti awam tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa tiada wakil MRM tampil memberikan kerjasama semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan, dengan menjelaskan sukarelawan MRM berada di lokasi dan telah berinteraksi dengan pegawai DBKL.

“Bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil MRM di lokasi untuk membuka kunci dan berbincang? Jika sukarelawan boleh mengambil gambar petugas DBKL di lokasi, sudah pasti beliau hadir untuk memberikan kerjasama,” katanya.

Sehubungan itu, MRM menggesa DBKL memberikan penjelasan lanjut berhubung percanggahan fakta tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Muhammad Azim berkata, MRM menghormati undang-undang dan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti Street Dakwah dijalankan secara tertib dan mematuhi garis panduan, selain menyambut baik kenyataan DBKL bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang.

Menurut beliau, aktiviti Street Dakwah bukan sahaja menjadi platform dakwah, malah berfungsi sebagai ruang interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang termasuk pelancong asing, sekali gus membantu memperkenalkan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat