PETALING JAYA, — Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengemukakan satu memorandum rasmi kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menuntut tindakan disiplin tertinggi termasuk pemecatan serta-merta Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Memorandum yang ditandatangani Naib Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia, S. Sanjeevan Ramakrishnan bersama kepimpinan pusat dan negeri sayap tersebut menyifatkan tuntutan itu sebagai “kewajipan perlembagaan”, bukan sekadar nasihat politik.
Menurut memorandum berkenaan, tindakan itu diasaskan kepada Perlembagaan parti, prinsip tatakelola organisasi serta amanah fidusiari kepimpinan tertinggi. Sayap Bersekutu menegaskan bahawa sebagai sayap yang sah di sisi Perlembagaan parti, mereka mempunyai hak dan kewajipan untuk menuntut tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran serius terhadap Perlembagaan, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan kepimpinan yang menjejaskan kestabilan parti.
Memorandum tersebut turut menghuraikan tanggungjawab Timbalan Presiden di bawah Perlembagaan parti, termasuk kewajipan membantu, menyokong dan mempertahankan Presiden serta Institusi Presiden, di samping memelihara kesetiaan, menegakkan disiplin dan menghalang sebarang bentuk sabotaj dalaman.
Sayap Bersekutu mendakwa Hamzah gagal melaksanakan mandat yang diberikan Presiden untuk menyelesaikan kemelut dalaman sayap itu, termasuk gagal bertindak sebagai penyatu dan pengawal disiplin sehingga berlaku ketidakstabilan berpanjangan.
Antara dakwaan yang disenaraikan dalam memorandum ialah pembiaran dan kegagalan menghalang gerakan Akuan Berkanun (SD) oleh penyokong tertentu yang didakwa mencetuskan ketidakstabilan politik dalaman dan melemahkan autoriti Presiden serta MPT. Hamzah juga didakwa terlibat dalam rundingan dengan pihak luar parti tanpa mandat rasmi, satu tindakan yang disifatkan sebagai melangkaui kuasa serta mencabul tatakelola parti.
Selain itu, beliau turut dikaitkan dengan dakwaan mendalangi gerakan menjatuhkan Presiden melalui kutipan SD, bersubahat dalam usaha menggagalkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU, serta bersekongkol dengan individu yang telah dipecat oleh Lembaga Disiplin parti.
Memorandum itu juga menyebut bahawa rentetan tindakan dan kegagalan tersebut telah merosakkan prinsip kesetiaan kepimpinan, melemahkan struktur sayap parti serta menghakis kepercayaan ahli terhadap institusi parti.
Sehubungan itu, Sayap Bersekutu secara tegas menuntut Lembaga Disiplin menjalankan prosiding penuh dan menjatuhkan hukuman pemecatan keahlian terhadap Hamzah atas dakwaan salah laku disiplin berat dan pelanggaran amanah perlembagaan. Pada masa sama, mereka mendesak MPT menggunakan kuasa perlembagaan untuk menyingkirkan beliau serta-merta daripada jawatan Timbalan Presiden tanpa kompromi atau penangguhan.
Memorandum tersebut menyimpulkan bahawa apabila seorang Timbalan Presiden didakwa bertindak menentang Presiden dan mencabar Perlembagaan parti, maka penyingkiran bukan lagi pilihan politik, sebaliknya kewajipan perlembagaan demi mempertahankan kelangsungan institusi parti.



