KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 — Srikandi Muda BERSATU Malaysia menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam mengemudi parti berdepan landskap politik yang mencabar.
Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati Azmi berkata dalam suasana parti berdepan tekanan dan ujian dalaman, kestabilan kepimpinan adalah keutamaan dan tidak wajar digugat dengan polemik terbuka.
Menurut beliau, Presiden BERSATU telah membuktikan keupayaan memimpin dalam keadaan sukar dengan pendekatan yang tenang, berprinsip dan berpengalaman, selari dengan semangat penubuhan parti.
“Srikandi Muda percaya kekuatan parti terletak pada kesatuan dan disiplin dalaman, bukan pada perbezaan pandangan yang dizahirkan secara terbuka sehingga mengganggu keharmonian sesama ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pandangan atau penilaian terhadap kepimpinan wajar dibincangkan melalui saluran parti secara tertutup dan berhemah demi menjaga maruah serta masa depan BERSATU.
Dalam masa sama, Srikandi Muda turut menggesa supaya tindakan tegas dan adil diambil terhadap mana-mana pihak yang jelas melanggar perlembagaan parti, disiplin serta menggugat kestabilan organisasi.
“Pecat mana-mana ahli yang cuba mengganggu gugat kestabilan parti walau apapun jawatan yang disandang, waima Timbalan Presiden mahupun Naib Presiden,” tegasnya.
Sebagai sayap wanita muda parti, Srikandi Muda menyatakan komitmen untuk memperkukuh dan mempertahankan parti, bukan mencetuskan ketegangan dalaman.
“Sebuah parti yang sedang diuji memerlukan ketenangan, bukan kebisingan,” katanya.
Srikandi Muda BERSATU turut menegaskan akan terus berdiri teguh bersama Presiden bagi memastikan perjuangan parti kekal fokus, utuh dan berdaya saing.



