KUALA LUMPUR- Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa berundur secara terhormat kerana peranannya dilihat tidak lagi sesuai untuk membawa parti dan Perikatan Nasional (PN) ke hadapan.
Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, sekiranya kemelut dalaman parti tidak dapat diselesaikan, bagaimana Muhyiddin mampu menjadi pemimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Katanya, beliau antara ahli yang terawal dipanggil menghadap Muhyiddin apabila isu akuan bersumpah (SD) mula heboh.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang yang sayangkan parti dan inginkan parti kuat menjelang PRU16 akan datang supaya berterus terang dengan beliau.
“Apabila ditanya kenapa, saya berhujah bahawa sudah sampai masanya beliau memberi laluan kepada penggantinya untuk menerajui parti.
“Parti perlu kuat dan kukuh untuk menghadapi perang PRU16 nanti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Khaliq Mehtab berkata, Muhyiddin sebelum ini pernah beberapa kali menzahirkan perancangan beliau untuk berundur, berehat dan meluangkan masa dengan keluarga tersayang.
Katanya, SD berkenaan tidak menyatakan bahawa Muhyiddin perlu berundur segera, sebaliknya perlu ada pelan peralihan kepimpinan.
“Tetapi waktu untuk pelaksanaan pelan peralihan kepimpinan haruslah betul dan beliau sendiri diberikan masa bagi melaksanakan pelan berkenaan.
“Muhyiddin sendiri terkait dengan kes mahkamah yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau dan juga kredibiliti parti, di mana beliau adalah presiden, sepatutnya beliau fokus terlebih dahulu untuk menyelesaikan dan menjernihkan kembali reputasinya,” katanya menurut BH.
Katanya, Muhyiddin seharusnya memberi laluan kepada individu yang dipersetujui oleh beliau sendiri.
Beliau berkata, tindakan itu adalah demi kesinambungan dan kemaslahatan parti seperti mana yang dipersetujui dalam pelan peralihan kepimpinan supaya individu berkenaan dapat mengambil alih nakhoda parti ini.
“Masa kepimpinan Tan Sri (Muhyiddin) sudah berakhir.
“Sekiranya kemelut dalaman parti sendiri tidak mampu diselesaikan, apatah lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara menjelang PRU16.
“Oleh itu, dengan penuh hormat, saya menyeru supaya Tan Sri berundur,” ujarnya.



