Kerabat diraja tak sesuai jadi Presiden FAM, terdedah kepada kritikan awam – peguam

KUALA LUMPUR – Pembabitan kerabat diraja dalam peranan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sememangnya membawa cabaran tersendiri termasuk pendedahan kepada kritikan awam serta pandangan pelbagai pemegang taruh.

Peguam undang-undang sukan Zhafri Aminurashid berpandangan dalam konteks ini, sebarang isu atau kontroversi yang timbul berpotensi memberi implikasi negatif terhadap institusi diraja memandangkan prestasi pasukan kebangsaan sering dijadikan ukuran utama terhadap keberkesanan badan induk bola sepak negara.

Justeru, Zhafri menegaskan adalah lebih wajar untuk memelihara kesucian dan martabat institusi diraja daripada sebarang kecaman atau kritikan yang tidak perlu.

“Oleh yang demikian, jawatan-jawatan utama seperti Presiden FAM adalah lebih sesuai disandang oleh individu awam bagi memastikan institusi diraja kekal dihormati dan tidak terheret ke dalam polemik pentadbiran sukan.

“Cadangan agar kepimpinan lama kembali menerajui FAM perlu dinilai dengan mengambil kira perubahan besar dalam landskap bola sepak global.

“Bola sepak hari ini menuntut pemahaman mendalam terhadap sistem pelesenan, pembangunan akar umbi berasaskan kelab, serta perancangan jangka panjang yang berteraskan prestasi dan tadbir urus moden.

“Pengalaman dan gelaran semata-mata tidak lagi mencukupi kerana kepimpinan yang benar-benar memahami realiti semasa bola sepak profesional dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan adalah lebih relevan daripada nostalgia masa lalu,” kata Zhafri memetik BH pada Isnin.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan menyifatkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah paling layak untuk mengemudi FAM dalam usaha menyelamatkan badan induk bola sepak negara itu.

Presidennya Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pengalaman luas dimiliki baginda dalam bola sepak sebelum ini mampu memulihkan semula imej sukan dan badan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Zhafri mengakui walaupun pengalaman dan sumbangan Al-Sultan Abdullah sebelum ini tidak boleh dinafikan namun realiti bola sepak Malaysia kini menuntut nafas baharu.

“Cadangan itu wajar dilihat secara holistik dan berlandaskan rekod sebenar, bukan semata-mata pengalaman lampau atau jawatan yang pernah disandang.

“Jika benar mahu ‘total reset’ seperti yang disuarakan oleh ramai penyokong, sewajarnya keutamaan diberikan kepada muka-muka baharu yang mampu membawa visi moden, mengukuhkan sistem kelab profesional, serta memastikan pembangunan pemain dan liga tempatan berjalan seiring dengan standard antarabangsa.

“Ini bukan menafikan jasa baginda sebelum ini tetapi menegaskan bahawa bola sepak Malaysia perlu melangkah ke hadapan demi masa depan yang lebih kompetitif,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat