KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Sri Sanjeevan Ramakrishnan yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menuntun Bersatu keluar daripada ujian politik dengan lebih kuat, lebih matang dan lebih bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Beliau yang juga Naib Ketua Bersekutu Bersatu mengingatkan, krisis bukan noktah sebaliknya ia adalah proses dan dari proses inilah, lahir kekuatan sebenar.
“Setiap parti politik di Malaysia pernah melalui krisis dalaman. Itu bukan tanda kelemahan, sebaliknya sebahagian daripada proses pematangan dan pengukuhan.
Tanpa ujian, tiada kebijaksanaan.
“Umno pernah melalui krisis besar pada 1987 yang memecahkan parti, namun bangkit semula melalui proses pembaharuan.
“Pas juga pernah berdepan perpecahan dalaman yang getir tetapi akhirnya stabil melalui muhasabah dan disiplin organisasi.
“Hari ini, Bersatu sedang melalui fasa yang sama. Perbezaan pandangan dan percaturan dalaman adalah realiti dalam sebuah parti yang hidup dan dinamik.
Yang penting bukan konflik itu sendiri tetapi bagaimana ia ditangani dengan hikmah, kesabaran dan kesetiaan kepada perjuangan asal.
“Kita belajar, kita perbaiki dan kita mara ke hadapan. Kerana dalam politik, mereka yang bertahan selepas ributlah yang benar-benar layak memimpin pelayaran seterusnya,” katanya.
Sanjeevan menegaskan, laut yang tenang tidak pernah melahirkan pelayar yang hebat.



