ACGAS bina keyakinan pengguna melalui ikon Nasional & inovasi keselamatan LPG

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026  Dalam industri tenaga domestik yang semakin mencabar, kepercayaan pengguna kini menjadi faktor penentu utama. Menyedari hakikat ini, ACGAS mengambil langkah strategik apabila melantik dua ikon seni tanah air, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira, sebagai Duta Jenama ACGAS 2026 satu keputusan yang melangkaui strategi pemasaran konvensional dan memberi penekanan kepada aspek keyakinan, keselamatan serta perubahan minda pengguna.

Pelantikan dua figura berpengaruh ini mencerminkan pendekatan ACGAS yang lebih menyeluruh dalam membina jenama, khususnya dalam industri gas petroleum cecair (LPG) yang sering dikaitkan dengan risiko keselamatan dan persepsi produk keperluan harian semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, menjelaskan bahawa ACGAS mahu mengubah cara masyarakat melihat penggunaan gas di rumah daripada sekadar rutin memasak kepada satu keputusan yang melibatkan keselamatan keluarga, teknologi dan kualiti hidup.

“Apabila bercakap tentang gas memasak, pengguna bukan hanya mahukan harga berpatutan, tetapi jaminan keselamatan. Duta jenama kami membawa nilai kepercayaan dan kredibiliti yang seiring dengan misi ACGAS untuk mendidik serta meyakinkan pengguna tentang kelebihan silinder komposit,” katanya.

Berbeza dengan silinder besi tradisional, silinder LPG komposit ACGAS menampilkan ciri keselamatan dan reka bentuk yang lebih moden ringan, tidak berkarat serta lebih mudah dikendalikan, khususnya oleh golongan wanita dan warga emas. Namun, cabaran utama bukan hanya pada penerimaan teknologi baharu, sebaliknya bagaimana meyakinkan pengguna untuk beralih daripada kebiasaan yang telah bertahan selama puluhan tahun.

Di sinilah peranan Rosyam Nor dan Erra Fazira dilihat signifikan. Kedua-duanya bukan sekadar selebriti, tetapi personaliti yang sering dikaitkan dengan nilai keluarga, ketegasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan elemen penting dalam komunikasi berkaitan keselamatan domestik.

Di sebalik wajah jenama yang semakin dikenali, ACGAS turut memacu transformasi dalaman melalui penggunaan teknologi digital. Integrasi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder membolehkan syarikat memantau inventori secara masa nyata, menjejak pergerakan silinder serta memastikan ketelusan dalam proses pengisian dan pengedaran.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, malah membantu mengurangkan ketirisan dan risiko penyalahgunaan subsidi LPG  satu isu penting dalam industri tenaga negara.

Selain itu, aplikasi mudah alih ACGAS terus diperluas fungsinya bagi memudahkan pengguna mengurus pembelian, jadual penghantaran serta maklumat penggunaan gas secara lebih teratur dan pintar.

Langkah ACGAS tidak terhenti pada pemasaran dan pendigitalan. Dengan kerjasama pelaburan hampir RM100 juta, syarikat kini dalam perancangan membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Projek ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport silinder LPG komposit untuk pasaran Asia.

Inisiatif ini sekali gus mengubah peranan ACGAS daripada sekadar pengedar kepada pengeluar strategik dalam industri LPG serantau, sejajar dengan usaha meningkatkan nilai rantaian industri tenaga negara.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan penguasaan sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia melalui peralihan berperingkat daripada silinder besi kepada silinder komposit. Strategi ini disokong oleh visi lebih besar untuk membangunkan ekosistem “Smart Energy” yang menekankan keselamatan, kecekapan dan kemudahan pengguna.

“Matlamat kami jelas menjadikan silinder komposit sebagai norma baharu dalam keselamatan LPG di Malaysia. Ini bukan perubahan kecil, tetapi satu transformasi industri yang memerlukan sokongan pengguna, rakan strategik dan dasar yang progresif,” ujar Nik.

Pelantikan Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai Duta Jenama ACGAS 2026 menjadi simbol kepada fasa baharu syarikat satu gabungan antara kepercayaan awam, inovasi teknologi dan visi jangka panjang untuk masa depan penggunaan LPG yang lebih selamat dan moden.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat