KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail menyindir Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Tuan Haji Yunus Nordin, dengan menegaskan bahawa jika benar mahu mendesak kepimpinan melepaskan jawatan, maka Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin sepatutnya berundur terlebih dahulu, selain Yunus sendiri turut wajar meletakkan jawatan.
Tun Faisal berkata, tindakan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur adalah tidak munasabah, sebaliknya kegagalan Timbalan Presiden melaksanakan peranan penting sebelum ini – termasuk sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah – perlu diberikan perhatian.
“Dari minta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, lebih baik Yunus minta Timbalan Presiden yang berundur di atas kegagalan-kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya sebelum ini seperti sebagai Pengarah Pilihanraya Sabah,” katanya kepada SuaraTV hari ini.
Beliau turut mendakwa Timbalan Presiden juga gagal mengawal tindak-tanduk penyokongnya yang menurutnya berulang kali melanggar perlembagaan serta disiplin parti sejak tahun 2025 lagi.
Tun Faisal dalam masa sama menyarankan Yunus turut mempertimbangkan untuk berundur kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Negeri Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah menjadikan beliau sebahagian daripada kegagalan perancangan pilihan raya di negeri itu.
“Yunus juga boleh mencadangkan agar dirinya juga berundur kerana sebagai Setiausaha Negeri bagi Badan Pimpinan Negeri Sabah, dia juga adalah sebahagian daripada kegagalan perancangan PRU DUN Sabah,” katanya.
Ketua Penerangan Bersatu itu turut mempertikaikan kefahaman Yunus mengenai proses dan kuasa eksekutif Presiden parti dalam rundingan politik.
Menurut Tun Faisal, sebagai Ahli MPT, Yunus tidak sewajarnya keliru bahawa kuasa Presiden Bersatu untuk berunding dengan parti lain adalah sah di bawah perlembagaan parti, manakala hasil perbincangan bersama Presiden PAS pula masih berbentuk rundingan serta cadangan, bukan keputusan muktamad parti.
“Sebagai Ahli MPT tidak sewajarnya dia tidak faham mengenai kuasa eksekutif Presiden BERSATU untuk berunding dan status hasil perbincangan bersama Presiden PAS adalah berbentuk rundingan dan cadangan,” katanya.
Kenyataan Tun Faisal itu hadir sebagai reaksi kepada kenyataan media Yunus hari ini yang menggesa Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu susulan kemelut dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan tersebut, Yunus mendakwa kenyataan dan tindakan unilateral Muhyiddin telah mewujudkan “kekeliruan politik”, mengganggu kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN.
Yunus turut menyatakan adalah wajar untuk Muhyiddin berundur dan menamakan Hamzah sebagai tokoh paling layak memangku jawatan Presiden Bersatu.
“Dalam situasi semasa ini, saya juga melihat Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin tokoh paling layak memangku jawatan Presiden parti kerana kepimpinan yang mempunyai kewibawaan, pengalaman serta kebijaksanaan politik untuk menyelesaikan konflik dalaman,” katanya.



