Oleh Zihan Zari
PASIR GUDANG – Loji pengeluaran BioBahan Api Penerbangan Lestari (SAF) merupakan satu penanda aras baharu dalam usaha negara memperkasakan sektor agri komoditi bernilai tinggi dan ekonomi hijau, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Kapasiti pengeluaran tahunan bagi loji ini adalah sebanyak 350,000 tan dan mampu menghasilkan SAF, minyak sayuran terhidrogenasi (HVO), dan Bionafta.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Loji Ecoceres – Loji Sustainable Aviation Fuel (SAF) Pertama di Malaysia di PLO 170, Jalan Ipil 3, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, dekat sini baru-baru ini.
Menurut Noraini, teknologi loji pengeluaran ini menggunakan 100 peratus (%) bahan mentah berasaskan sisa sawit seperti Minyak Masak Terpakai (UCO) dan minyak daripada Efluen Kilang Sawit (POME).
Katanya, pelaburan EcoCeres ini merupakan manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem perladangan dan komoditi di Malaysia.
“Penggunaan sisa industri sawit sebagai bahan mentah utama membuktikan bahawa industri sawit negara bukan sahaja mampan, malah mampu menjadi penyumbang utama kepada penyahkarbonan sektor penerbangan global, ”katanya lagi.
Ujarnya, penubuhan loji ini adalah selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) yang menekankan pembangunan ekonomi hijau.
“Selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, loji ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan,”ujarnya lagi.
Tambahnya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus menyokong inisiatif yang memberi nilai tambah kepada biojisim sawit dan sisa agri-komoditi.
“Kerjasama strategik antara EcoCeres dengan rakan industri tempatan dan penerimaan pensijilan antarabangsa seperti International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) membuktikan bahawa Malaysia bersedia menjadi peneraju hab biobahan api SAF di rantau ini.
“Kementerian yakin bahawa fasiliti ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan biobahan api lestari global, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



