KUANTAN, — Seorang pempengaruh media sosial didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam (khamis) selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video jelik menerusi media sosial yang memaparkan tindakan memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Orang Kena Saman (OKS), Tang Sie Luk, 23, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Menurut pertuduhan, OKS didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Instagram melalui satu akaun bagi membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menganiayai mana-mana pihak.
Video berkenaan tular apabila memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Lorong Sekilau 58, Jalan Haji Ahmad, kira-kira jam 12 tengah hari pada 4 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada OKS tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.
Beliau berkata mangsa sendiri berasa dihina dan marah akibat perbuatan tersebut.
“Perbuatan memberi sisa makanan (sisa ayam) kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman video bagi kandungan media sosial,” katanya di mahkamah.
Tambah beliau, kandungan itu jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan awam.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa berdasarkan fakta kes, OKS yang merupakan individu dalam video tersebut mengesahkan telah memuat naik kandungan berkenaan menggunakan peranti komunikasi miliknya.
Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum serta memaklumkan beliau telah insaf dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan. — SuaraTV



