KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah dan sedang mengambil tindakan susulan di mana 41 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 20 daripadanya dibuang kerja kerana terbabit kes pasport terbang dalam tempoh empat tahun sejak 2022.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Isnin lalu berhubung laporan siasatan berkaitan dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau berkata, jabatan itu menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan.
“Sehubungan itu, Jabatan Imigresen sudah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.
“Berhubung kes yang dilaporkan, kita mengesahkan bahawa tindakan tatatertib sudah dilaksanakan terhadap pegawai terbabit selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Zakaria, langkah itu mencerminkan pendirian tegas jabatan bahawa sebarang salah laku, khususnya yang membabitkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025, seramai 41 pegawai dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terbabit dalam kes berkaitan pasport terbang.
“Daripada jumlah itu, 20 pegawai dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan. Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Zakaria berkata, setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi.
“Bagi tahun lalu, sebanyak 61 kes dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terbabit dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Katanya, jabatan itu akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara.



