Setiap kali Ramadan menjelang, soalan yang sama pasti berlegar di fikiran ramai nak berbuka di mana hari ini? Dengan terlalu banyak pilihan bufet di pasaran, tidak mudah untuk mencari sesuatu yang benar-benar berbeza, apatah lagi yang mampu membawa kita ‘pulang’ ke rasa masakan kampung yang asli.
Namun, Banglo 289 nampaknya sekali lagi berjaya mencuri perhatian apabila memperkenalkan Bufet Ramadan 2026 mereka menerusi satu sesi previu khas di cawangan ikonik Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Seperti namanya, Banglo 289 tidak sekadar menjual makanan, tetapi pengalaman pengalaman berbuka yang sarat dengan rasa tradisi, memori dan sedikit kelainan yang sukar ditemui di tempat lain.

Dengan tema “Traditional Kampung Dishes with Soul and Journey”, konsep bufet Ramadan tahun ini memberi penekanan kepada masakan Melayu asli yang dimasak dengan jiwa. Bukan sekadar mengikut resipi, tetapi mengekalkan cara penyediaan orang lama, menggunakan bahan segar berkualiti tinggi dan memberi ruang kepada rasa sebenar setiap hidangan untuk ‘bercerita’.
Apa yang benar-benar membezakan Banglo 289 daripada kebanyakan bufet Ramadan lain ialah keberanian mereka menampilkan menu-menu yang jarang, malah hampir mustahil ditemui di bufet biasa. Antara yang paling dinanti sudah tentu daging rusa, yang diperkenalkan buat tahun ketiga berturut-turut sebagai menu istimewa. Bagi penggemar masakan eksotik, daging rusa di Banglo 289 bukan sekadar gimik, sebaliknya diolah dengan resipi terpilih yang mengekalkan kelembutan dan rasa uniknya.
Tidak cukup dengan itu, Banglo 289 turut membawa masuk ikan-ikan ‘rare’ dari sungai Pahang seperti ikan krai, jelawat, patin dan baung spesies yang semakin sukar ditemui dan biasanya hanya dinikmati di kampung atau restoran terpilih. Ditambah pula dengan hidangan laut premium seperti udang mantis, mentarang dan udang galah segar, bufet ini jelas menyasarkan pengunjung yang menghargai kualiti dan keunikan, bukan sekadar kuantiti.

Sudah tentu, bufet Ramadan Banglo 289 tidak melupakan hidangan-hidangan klasik yang menjadi jiwa masakan Melayu. Dari masak lemak, asam pedas, lauk panggang berempah, pelbagai jenis sambal tradisional, hinggalah ulam-ulaman segar dan kuih-muih nostalgia, setiap sudut bufet seolah-olah membawa pengunjung menyusuri perjalanan rasa dari dapur kampung ke meja makan moden.
Bagi memudahkan pengunjung, Bufet Ramadan 2026 Banglo 289 akan ditawarkan di tiga cawangan utama iaitu di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, Elmina Lakeside Mall, Shah Alam dan IOI City Mall, Putrajaya. Ini memberi lebih banyak pilihan lokasi tanpa menjejaskan kualiti hidangan yang ditawarkan.
Menariknya, pelanggan yang membuat tempahan awal turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 20 peratus, dengan harga serendah RM95 seorang satu tawaran yang agak berbaloi memandangkan jenis dan kualiti menu yang disajikan. Namun, seperti biasa, tawaran early bird ini adalah untuk tempoh terhad dan tertakluk kepada ketersediaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Banglo 289, Shareen Farzida Sukri, menjelaskan bahawa fokus mereka setiap tahun bukan sekadar menambah bilangan hidangan, tetapi memastikan setiap menu mempunyai cerita dan nilai tersendiri. Menurut beliau, pengenalan berterusan menu unik seperti daging rusa, ikan sungai ‘rare’, udang mantis dan mentarang adalah usaha untuk menjadikan pengalaman berbuka lebih eksklusif dan bermakna.
“Bufet Ramadan bukan sekadar tentang kuantiti makanan, tetapi tentang rasa, kualiti dan pengalaman. Kami mahu setiap tetamu pulang dengan kenangan rasa yang mengingatkan mereka kepada masakan kampung dan nilai kekeluargaan,” katanya.

Buffet Ramadan di Banglo 289, Jalan Raja Chulan menawarkan tema “Citarasa Kampung” dengan harga bermula RM119++ (Isnin-Khamis) dan RM135++ (Jumaat-Ahad) untuk dewasa, manakala kanak-kanak (6-12 tahun) bermula RM60++ hingga RM68++
Melihat kepada sambutan yang diterima, Banglo 289 juga merancang untuk membuka cawangan keempat di KLIA2 dalam masa terdekat. Langkah ini bukan sahaja mencerminkan perkembangan jenama tersebut, malah sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) yang memberi tumpuan kepada pengalaman budaya dan gastronomi tempatan.
Bagi Banglo 289, masakan tradisional Melayu bukan sekadar hidangan, tetapi warisan. Dan melalui bufet Ramadan ini, mereka bukan sahaja menghidangkannya kepada rakyat tempatan, malah berpotensi memperkenalkan kekayaan rasa Malaysia kepada pelancong antarabangsa yang dijangka meningkat sempena kempen tersebut.
Secara keseluruhan, Bufet Ramadan 2026 Banglo 289 menawarkan sesuatu yang berbeza åbukan sekadar meja panjang penuh lauk, tetapi perjalanan rasa yang menggabungkan nostalgia, keaslian dan sedikit sentuhan ‘rare’ yang sukar dilupakan.



