KUALA LUMPUR: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diluncurkan semalam akan menjadi hala tuju sistem pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, pelan baharu itu digubal bagi memastikan mutu pendidikan negara terus diperkukuh demi masa depan anak-anak Malaysia, selain menangani kesenjangan pendidikan yang masih wujud.
“Sepanjang lebih tiga tahun, ramai bertanyakan mengenai dasar yang saya bawa untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Tetapi ia bukan mengenai saya. Apa yang utama adalah untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhlina menjelaskan, pelaksanaan RPM 2026–2035 adalah kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang telah tamat secara rasmi pada tahun lalu.
Katanya, rancangan baharu itu penting bagi menyesuaikan sistem pendidikan negara dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan, selari dengan perubahan landskap global dan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa RPM 2026–2035 tidak dibangunkan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses yang panjang dan teliti dengan penglibatan ribuan pemegang taruh termasuk pendidik, pakar pendidikan, ahli akademik serta masyarakat.
“Kita harus berbangga kerana rancangan ini adalah seratus peratus buatan Malaysia,” katanya.
Fadhlina turut mengalu-alukan pandangan dan maklum balas semua pihak bagi memastikan pelaksanaan RPM 2026–2035 benar-benar memberi manfaat kepada sistem pendidikan negara.
“Kita perlu bergerak bersama demi masa hadapan anak-anak Malaysia,” tambah beliau.



