CHAIBASA, INDIA — Sekurang-kurangnya 22 orang dilaporkan maut dalam satu siri serangan ganas oleh seekor gajah liar di daerah West Singhbhum, negeri Jharkhand, timur India sejak awal Januari 2026. Pihak berkuasa tempatan kini dalam ops besar memburu haiwan itu, yang dipercayai masih berkeliaran di kawasan hutan dan perkampungan setempat. 
Serangan pertama berlaku pada 1 Januari 2026 di Kampung Bandijhari, dengan seorang lelaki berusia 35 tahun menjadi mangsa dalam kejadian awal. Sejak itu, haiwan tersebut memasuki beberapa kampung lain termasuk Sowan, Babaria dan kawasan sekitar Chaibasa, menyerang orang ramai terutama pada waktu malam apabila ramai sedang tidur atau menjaga sawah. 
Di antara mangsa termasuk kanak-kanak dan seorang pegawai hutan, serta beberapa anggota keluarga yang tercampak akibat serangan ganas itu. Setakat ini, usaha untuk menenangkan dan menangkap gajah tersebut telah gagal, walaupun lebih daripada 100 anggota perhutanan telah digerakkan dengan bantuan pakar dari negeri lain. 
Pegawai perhutanan berkata gajah jantan berkenaan dipercayai telah terpisah dari kawanan asalnya dan kini berada dalam keadaan musth — satu fasa hormon testosteron yang tinggi yang meningkatkan sifat agresif haiwan. Ia dikatakan boleh bergerak sehingga 30 kilometer sehari, sekali gus menyukarkan proses pengejaran. 
Keadaan ini telah menyebabkan kerajaan negeri Jharkhand mengisytiharkan “darurat gajah”, manakala penduduk kampung dinasihatkan mengelakkan diri dari hutan dan tidak keluar pada waktu malam bagi mengurangkan risiko serangan lanjut. 
Ahli biologi dan pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa konflik antara manusia dan gajah liar semakin meningkat di India, berpunca daripada kehilangan habitat, pemusatan penempatan manusia di koridor migrasi haiwan serta kekurangan sumber makanan dan air. 



