Warga Malaysia Dilaporkan Hilang di Jeddah Disahkan Meninggal Dunia – Wisma Putra

PUTRAJAYA, — Seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi sejak 15 Januari lalu disahkan telah meninggal dunia, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam satu siaran akhbar hari ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa pengesahan itu dibuat hasil usaha pengesanan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dengan kerjasama rapat pihak berkuasa tempatan serta semakan rekod berkaitan.

Menurut kenyataan itu, mangsa, Puan Nadiah Kasumawati, sebelum ini dilaporkan hilang di Jeddah dan perkembangan terkini berhubung pemergiannya telah dimaklumkan kepada ahli keluarga terdekat.

Kementerian turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah serta merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam mengendalikan kes berkenaan.

Bagi memastikan segala urusan berjalan lancar, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kini sedang memberikan bantuan konsular sepenuhnya kepada keluarga mangsa. Wakil-wakil daripada kedua-dua perwakilan diplomatik Malaysia itu juga berada di lapangan bagi memantau perkembangan secara dekat dan memudah cara proses-proses selanjutnya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Bagaimanapun, memandangkan kes ini melibatkan privasi keluarga, kementerian tidak akan mengulas lanjut mengenai butiran peribadi individu terlibat bagi menghormati sensitiviti semua pihak.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat