KUALA LUMPUR — VFive Group Sdn. Bhd. menunaikan kewajipan zakat perniagaan dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM2.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), sebagai manifestasi komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf, khususnya di Lembah Klang.
Penyerahan simbolik sumbangan zakat tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Hj Mohd Syafiq Hj Abdullah, kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman. Majlis turut diiringi oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, dan berlangsung bersempena Sambutan Israk Mikraj 1447H yang dianjurkan oleh VFive Group pada Jumaat.
Pemilihan Sambutan Israk Mikraj sebagai latar majlis membawa makna tersendiri, selari dengan prinsip ketaatan dan amanah yang menjadi asas kepada pelaksanaan zakat perniagaan. Ia turut melambangkan pendekatan VFive Group dalam menyelaraskan nilai kerohanian dengan tadbir urus serta amalan korporat.
Dalam ucapannya, Datuk Hj Mohd Syafiq menegaskan bahawa penyerahan zakat berkenaan mencerminkan nilai empati, ihsan dan amanah yang menjadi teras falsafah perniagaan syarikat. Menurut beliau, sumbangan itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya satu komitmen berterusan VFive Group sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab dan cakna terhadap kebajikan masyarakat, selari dengan pendekatan perkongsian kemakmuran melalui saluran zakat yang telus.
Beliau turut menekankan peranan zakat sebagai instrumen strategik dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam, khususnya bagi menyokong golongan yang terkesan dengan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup. Zakat, katanya, bukan sekadar tuntutan fardu tetapi mekanisme pembangunan ummah yang mampan, berteraskan tadbir urus beretika dan nilai Islam.
Selain zakat perniagaan, VFive Group aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan melalui Yayasan VFive. Sepanjang 2025, kumpulan itu memperuntukkan sekitar RM30 juta bagi program CSR merangkumi bantuan kebajikan, pembangunan komuniti dan sokongan pendidikan. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penyediaan 750 pek makanan iftar harian, sumbangan baju raya kepada anak yatim, program singgah sahur, tajaan umrah pada bulan Ramadan, edaran kampit beras bulanan serta bantuan kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan institusi pendidikan.
Komitmen kebajikan VFive Group turut merangkumi peringkat antarabangsa menerusi penyaluran bantuan kepada masyarakat Islam di luar negara, termasuk inisiatif di Masjidil Haram, Madinah dan beberapa wilayah di Indonesia, sebagai usaha menyantuni ummah secara menyeluruh dan merentas sempadan.
VFive Group percaya sinergi antara kejayaan korporat dan kesejahteraan masyarakat merupakan asas kepada pertumbuhan yang lestari, dan pengurusan syarikat serta Yayasan VFive sentiasa mengalu-alukan cadangan kerjasama strategik bagi memperluas manfaat kepada lebih banyak komuniti.



