UMNO bukan ‘UMDAP’, bukan parti tempelan, kerjasama politik bukan muslihat atau tipu daya – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO bukan parti ‘UMDAP’, bukan parti tempelan dan bukan pelengkap kepada mana-mana gabungan politik, sebaliknya kekal sebagai tiang seri kestabilan negara sejak sebelum merdeka.

Berucap dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Zahid berkata kerjasama politik yang dijalin oleh UMNO tidak pernah dibina atas muslihat atau tipu daya, sebaliknya berteraskan prinsip kesetiaan, penghormatan dan kejujuran yang menjadi asas perjuangan parti itu sejak penubuhannya.

“Kerjasama politik yang dijalin bukan dengan muslihat dan tipu daya. Ia bukan sandiwara dan bukan tipu helah politik.

“UMNO sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kesetiaan mesti dibalas dengan penghormatan, dan permuafakatan pula mesti diiringi dengan keikhlasan serta kejujuran. Inilah asas yang membentuk kepercayaan dalam mana-mana kerjasama politik,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan memahami dan menghormati prinsip asas itu telah mencetuskan sentimen negatif terhadap UMNO, termasuk pelabelan sebagai ‘UMDAP’, kebangkitan semula slogan ‘No Anwar No DAP’ serta pelbagai tohmahan terhadap penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Zahid menegaskan UMNO tidak pernah menagih layanan istimewa dalam Kerajaan Perpaduan, namun menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan memperkecilkan peranan dan kedudukan parti itu dalam gabungan kerajaan.

“UMNO tidak menagih layanan istimewa. Kita tidak meminta kelebihan luar biasa. Namun jangan sekali-kali menganggap UMNO sebagai parti tempelan atau sekadar pelengkap kepada mana-mana gabungan.

“Jangan ingat UMNO parti kari pullay, parti daun kari bila nak masak dicampak dalam kuali, bila dihidang, dikuis ke tepi. Barang harus diingat, UMNO adalah tiang seri kestabilan negara,” katanya.

Mengulas slogan ‘No Anwar No DAP’, Zahid menjelaskan bahawa naratif itu sering dimanipulasi bagi menggambarkan seolah-olah UMNO mencabuli keputusan Perhimpunan Agung UMNO, sedangkan keputusan sebenar dibuat dalam konteks strategi pilihan raya.

“Keputusan Perhimpunan Agung UMNO ketika itu ialah ‘No Anwar No DAP No Bersatu’ sebagai pendirian untuk bergerak solo pada PRU-15.

“Ia bukan penolakan mutlak terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan. Hakikatnya, kita mengambil keputusan menyertai Kerajaan hari ini setelah ada pihak yang menolak titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara,” katanya.

Beliau turut mengakui UMNO membayar harga politik yang mahal apabila dihina, dicaci dan dilabel sebagai ‘UMDAP’, selain dituduh menggadaikan perjuangan Melayu dan Islam demi kuasa.

“Kita membayar pada harga yang mahal. UMNO dihina, dicaci dan dilabelkan sebagai UMDAP. UMNO dikatakan telah mencairkan asas perjuangan, dituduh khianat terhadap kepentingan Melayu dan Islam, semata-mata mahu berpaut pada dahan kuasa, malah dikatakan takut dan tunduk kepada rakan-rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Namun Zahid menegaskan pendirian UMNO dalam isu-isu dasar utama seperti penolakan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang berat sebelah serta bantahan terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) membuktikan parti itu tidak pernah mencairkan asas perjuangan.

Dalam ucapannya, Zahid turut menyentuh isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menurutnya kekal mendapat sokongan dan solidariti UMNO tanpa berbelah bahagi.

“Apabila menyebut nama Dato’ Seri Najib Tun Razak, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Simpati kita, solidariti kita dan pendirian kita kekal. Malah beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam Assalamualaikum kepada seluruh sidang perwakilan,” katanya.

UMNO, katanya, turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar ihsan, pertimbangan dan keringanan dapat diberikan kepada Najib.

Zahid menegaskan kepimpinan UMNO tidak memekakkan telinga terhadap suara akar umbi, termasuk desakan supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan, namun keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan negara dan maslahah ummah.

“Percayalah, saya dan kepimpinan tidak pekak terhadap suara akar umbi. Segala keluh kesah, keresahan dan desakan didengari, dinilai dan diperhalusi. Namun keputusan yang diambil bukan keputusan yang mudah.

“Ia adalah keputusan yang berpaksikan kepentingan negara, maslahah ummah dan masa depan UMNO sendiri. Kesabaran UMNO ada batasnya. UMNO setia kepada perjanjian dan menghormati semangat kerjasama, tetapi maruah dan peranan UMNO tidak boleh diperkecilkan,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat