Hashim Jasin akan menjadi jambatan persahabatan atau mangsa perbalahan politik ganas seterusnya?

Pertemuan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, dengan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, semalam mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik, khususnya dalam konteks ketegangan berpanjangan antara PAS dan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

Hakikat bahawa gambar pertemuan tersebut dimuat naik sendiri oleh Hashim Jasin dengan kapsyen ringkas “Alhamdulillah” memberi gambaran jelas bahawa beliau memilih pendekatan berbeza daripada sebahagian kepimpinan PAS pusat yang sebelum ini secara terbuka mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan kepimpinan PN.

Ia boleh jadi isyarat itu ke arah musyawarah dan pemulihan ketika tekanan politik sedang memuncak.

Namun tidak mustahil juga ia adalah langkah menunjukkan perbalahan dalam PAS sudah semakin kronik sehingga memerlukan campur tangan Mursyidul Am PAS menyelesaikannya.

Walaupun Hashim Jasin bukanlah tokoh yang berpengaruh besar dalam PAS namun jawatan beliau sebagai Mursyidul Am membawa autoriti moral dan ideologi yang besar, hampir setara dengan Presiden parti.

Dalam struktur PAS, peranan Mursyidul Am bukan sekadar penasihat, tetapi penjaga prinsip dan kesatuan dalaman parti. Justeru, sebarang tindakan atau isyarat daripadanya tidak boleh dibaca sebagai pendirian peribadi semata-mata.

Lebih signifikan, Hashim Jasin berasal dari Perlis, negeri kecil di utara Semenanjung Malaysia yang menjadi pencetus kepada krisis kepimpinan paling serius dalam PN sejak penubuhannya.

Secara asas, naratif politik di Perlis sepatutnya mudah. Isyarat Istana Perlis sejak hampir setahun lalu jelas menunjukkan keperluan menukar Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, kepada tokoh lain yang lebih mampu memulihkan hubungan dengan institusi Raja.

Namun pelbagai isu melibatkan pentadbiran pejabat Menteri Besar, termasuk kes yang dibicarakan serta pendedahan rakaman yang didakwa menghentam institusi Raja Perlis, telah menjadikan keadaan semakin rumit.

PAS memilih untuk melengah-lengahkan penyelesaian, sehingga tercetus khabar angin bahawa lapan Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis, lima daripada BERSATU dan tiga daripada PAS, telah menandatangani akuan bersumpah menarik sokongan.

Walaupun dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan secara sah, isu itu telah digunakan sebagai asas untuk mencorakkan naratif pengkhianatan di peringkat pusat. BERSATU dituduh sebagai pengkhianat, tiga ADUN PAS digantung keahlian dan diisytiharkan kosong kerusi mereka, manakala Muhyiddin pula didesak melepaskan jawatan kepimpinan PN.

Krisis ini akhirnya berakhir bukan melalui undi tidak percaya, tetapi apabila Mohd Shukri Ramli, yang juga besan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, meletakkan jawatan atas alasan kesihatan.

Secara prinsip, isu akuan bersumpah langsung tidak berbangkit. Namun PAS tetap meneruskan naratif bahawa telah berlaku pengkhianatan dalam kalangan rakan gabungan.

Pendekatan ini bagaimanapun ditolak secara terbuka oleh kepimpinan ulama di peringkat negeri. Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, sebelum ini menegaskan bahawa tiada mana-mana ADUN PAS atau BERSATU yang terlibat dalam kemelut politik Perlis boleh dianggap sebagai pengkhianat.

Menurut Ahmad Adnan, dakwaan pengkhianatan hanyalah persepsi yang timbul akibat kegagalan pengurusan, komunikasi dan ketidaktegasan kepimpinan dalam mengurus peralihan kuasa, bukannya kerana niat jahat atau komplot menjatuhkan parti.

Beliau turut menolak dakwaan penglibatan pihak luar dan mengingatkan bahawa krisis tersebut menjadi kompleks kerana kelemahan PAS sendiri dalam menyelesaikan isu secara berhemah sejak awal.

Kenyataan itu penting kerana ia menunjukkan perbezaan yang ketara antara naratif yang dibawa oleh kepimpinan PAS pusat dan pandangan ulama akar umbi di Perlis.

Ia juga memperlihatkan bahawa tuduhan terhadap BERSATU dan Muhyiddin tidak mendapat sokongan sepadu dalam struktur dalaman PAS sendiri.

Dalam konteks inilah pertemuan Hashim Jasin dengan Muhyiddin perlu dibaca.

Ia bukan sekadar pertemuan peribadi, tetapi satu isyarat bahawa sebahagian kepimpinan ulama PAS memilih pendekatan pendamaian dan musyawarah ketika kepimpinan pusat dilihat terus menekan dan mencatur kepimpinan PN secara terbuka.

Namun langkah ini turut meletakkan Hashim dalam kedudukan yang berisiko.

Jika Hashim berjaya, beliau berpotensi menjadi jambatan yang mendamaikan PAS dan BERSATU serta menghalang perpecahan lebih besar dalam PN.

Namun jika gagal, beliau berisiko menjadi mangsa percaturan politik dalaman PAS yang sangat ganas.

Sehingga hari ini pemimpin PAS yang membawa naratif bertentangan dalam kemelut politik di Perlis akan berhadapan risiko dikecam dan diserang.

Kebenaran tidak lagi penting apabila berbeza dengan naratif parti. Hashim menyedari hal itu, namun beliau mengambil risiko.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat