KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penghormatan tertinggi Republik Türkiye melalui penganugerahan Order of the Republic, yang disampaikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan.
Menurut Anwar, anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Türkiye.
“Saya menerimanya dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.
“Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat.
“Saya berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.



