KUALA LUMPUR – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkongsi pandangan peribadinya tentang Mufti Perlis Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza).
Menurut Khairuddin at-Takiri Dr Maza yang beliau kenal tidak akan undur dengan kejian dan makian bahkan semakin dikeji makin beliau memperkemaskan hujahan.
“Saya kenali Dr Maza sejak 1992 lagi ketika di Amman, Jordan sudah 33 tahun. Beliau seorang yang berani memberikan pandangan berbeza secara ilmu dan akademik. Itulah karakter beliau sampai sekarang pun.
“Saya banyak juga berbeza pandangan dengan beliau tetapi titik persamaan lebih banyak untuk kami kekal bersahabat.
“Apabila dalam isu krisis politik Perlis beliau memberikan pandangan yang berbeza dengan Pas jawablah dengan idea juga bukan dengan mencabarnya masuk politik hanya kerana sedikit teguran kepada Presiden Pas. Itu bangkrap idea namanya.
“Beliau (Dr Maza) Mufti yang memberi nasihat kepada semua warga politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Beliau dilibatkan secara terus oleh Istana dalam menangani krisis MB Perlis ini yang meletakkan beliau sebagai orang yang berkelayakan untuk mengulas dan memberi pandangan.
“Lagipun setahu saya beliau masih lagi ahli Pas dan belum pernah ditamatkan lagi keanggotaannya,” kongsi Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Malaysia itu lagi.
Ujar Khairuddin, Dr Maza tidak sekali menegur Pas tentang isu kafir mengkafir yang menjadi sejarah hitam politik di Terengganu dulu.
“Dalam mengulas pendekatan membincangkan isu Hudud pun beliau ada pandangan. Dalam isu teks baiah Pas Kelantan yang tidak lagi diamalkan oleh Pas juga beliau mengkritik dan kritikan beliau sangat berasas pada hukum syarak. Balaslah hujahan beliau dengan hujah juga.
“Tidak sekali dia mendukung pendirian politik Pas. Ketika itu beliau tentu dipuji dan ucapan beliau diviral di merata-rata oleh ahli. Tapi apabila beliau berbeza, kejiannya boleh tahan juga bercampur dengan makian dan memperlekeh keperibadian,” kata Khairuddin.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Dr Maza susulan pandangan beliau terhadap kemelut politik di Perlis selain kritikan terhadap sumpah baiah Pas.



