KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menafikan sepenuhnya satu kenyataan media yang disebarkan oleh pihak tidak dikenali, yang mendakwa kononnya Pejuang telah menyertai Perikatan Nasional (PN) serta akan mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PN.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid menegaskan, kenyataan tersebut adalah palsu, tidak berasas dan mengelirukan, serta jelas bertujuan
mencetuskan persepsi salah dan ketegangan politik yang tidak perlu.
“Pejuang ingin menegaskan beberapa perkara penting bagi mengelakkan sebarang salah faham iaitu Pejuang tidak akan membuat sebarang keputusan politik secara sebelah pihak/ unilateral atau tergesa-gesa yang membelakangkan rakan-rakan strategik yang selama ini berkongsi aspirasi dan prinsip perjuangan.
“Sebarang keputusan melibatkan hala tuju politik negara hanya boleh dibuat melalui proses perundingan, muafakat dan pertimbangan menyeluruh, bukan melalui
spekulasi media atau kenyataan pihak ketiga,” jelas Rafique.
Bahkan ujar beliau, Tun Dr Mahathir tidak pernah dirujuk, dimaklumkan atau memberi persetujuan berhubung dakwaan pelantikan beliau dalam mana-mana gabungan politik seperti yang tular.
“Tun Dr Mahathir harus dihormati sebagai Negarawan yang pastinya diri beliau sendiri tidak mahu digunakan sebagai agenda politik mana-mana pihak bagi
kepentingan politik mereka.
“Justeru, Pejuang berpandangan bahawa politik perpecahan mesti dihentikan. Semua parti politik, tanpa mengira ideologi dan latar belakang, perlu menyahut seruan penyatuan nasional demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Menurut Rafique lagi, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan politik yang berpanjangan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan politik (political unrest) yang tidak berkesudahan, seterusnya melemahkan institusi negara, ekonomi serta kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Pejuang kekal konsisten bahawa politik masa hadapan Malaysia mesti berteraskan -penyatuan, bukan perbalahan; muafakat, bukan manipulasi; dan prinsip kenegaraan, bukan kepentingan sempit.
“Sehubungan itu, Pejuang menasihatkan semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat palsu dan tidak menggunakan nama Pejuang atau Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai alat politik untuk agenda tertentu.
“Pejuang akan mempertimbangkan tindakan sewajarnya, termasuk langkah undang-undang, sekiranya penyebaran fitnah ini berterusan dan menjejaskan keharmonian politik negara.
“Orang ramai dan pihak media dinasihatkan supaya merujuk hanya kepada kenyataan rasmi Pejuang bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan bertanggungjawab,” tegur beliau yang juga pengamal undang-undang.



