Jangan kutuk, hina Umno yang berdepan ujian kewangan – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan penyakit parti pemerintah bukan milik Umno semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, ia boleh menular kepada mana-mana parti yang memerintah, termasuk Amanah.

“Jika kita sebagai parti pemerintah gagal mengurus kewangan, gagal mengawal perebutan jawatan dan kedudukan, tidak mustahil kita akan mengalami keadaan yang lebih parah daripada parti-parti yang telah lama memerintah sebelum ini.

“Sebagai Presiden parti yang akan berakhir tempoh jawatan apabila pemilihan berlangsung dalam konvensyen, saya ingin mengingatkan bahawa Amanah sebenarnya lebih sukar diuji ketika memerintah berbanding ketika menjadi pembangkang. Godaan kuasa, harta, pangkat dan darjat jauh lebih kuat apabila kita berada dalam kerajaan.

“Oleh itu, kita melihat apa yang sedang dilalui oleh parti rakan kita, Umno, yang kini berusaha melakukan pemulihan. Jadikanlah ia sebagai teladan, bukan bahan cercaan. Usahlah kita menambah kutukan dan sindiran, kerana jika kita gagal menjaga disiplin, integriti dan amanah, kita juga tidak terkecuali daripada menerima nasib yang sama.

“Jangan kita menambah luka dengan mengutuk atau menghina parti sahabat dalam kerajaan perpaduan yang sedang berdepan ujian kewangan dan penstrukturan semula,” katanya.

Dalam kita menyaksikan pergolakan parti-parti lain, tanggungjawab kita ialah membina kekuatan dalaman, memperkukuh perpaduan dalam Amanah, serta mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan—demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, keputusan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah diketahui umum. Ia adalah proses yang berlaku dalam kerangka perundangan negara.

Ujar beliau, rule of law sedang berjalan di Malaysia, dan kita berharap ia terus dipelihara serta dilaksanakan dengan adil, bebas dan berintegriti demi kedaulatan undang-undang negara.

“Dalam masa yang sama, kita amat memahami perasaan ahli-ahli dan penyokong Umno apabila pemimpin utama mereka ditimpa musibah sedemikian rupa.

“Perasaan sedih, kecewa dan hiba itu adalah perasaan manusiawi. Apa yang berlaku seharusnya menjadi pengajaran besar kepada semua parti politik, termasuk kepada kita dalam Parti Amanah sendiri,” katanya.

Menurut Mat Sabu lagi, Umno ditubuhkan sejak tahun 1946 atas perjuangan orang Melayu dan Islam. Pada peringkat awal perjuangan kemerdekaan, rakyat menghulurkan derma, mengumpul wang, dan membiayai pemimpin Umno ke London untuk menuntut kemerdekaan negara. Itu adalah sejarah pengorbanan dan kepercayaan rakyat kepada pemimpin.

“Namun selepas merdeka dan apabila menjadi pemerintah terlalu lama, realiti politik berubah. Apabila berkuasa, pemimpin sering berdepan tekanan untuk menjaga parti, menyantuni penyokong, dan mempertahankan kedudukan. Dalam suasana itulah, perebutan jawatan, kedudukan dalam GLC, GLIC dan pelbagai institusi lain menjadi kebiasaan. Dari situ, politik wang mula berakar, dan akhirnya kita menyaksikan kejatuhan Umno-Barisan Nasional pada tahun 2018.

“Parti kita (Amanah) ditubuhkan pada tahun 2015 dengan membawa perjuangan Islam rahmatan lil ‘alamin. Namun apabila kita berada dalam kerajaan, unsur-unsur sebagai parti pemerintah mula dirasai keinginan untuk menjadi calon, tuntutan jawatan, desakan mendapatkan tempat dalam GLC dan GLIC, serta harapan agar parti membiayai pelbagai program dan kegiatan.

“Akhirnya, pemimpin parti terpaksa berhempas pulas mencari sumber kewangan untuk memastikan parti terus berjalan. Inilah amaran kepada kita semua.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat