KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden menggambarkan seolah-olah hubungan antara Pas dan Bersatu sudah berakhir susulan situasi politik yang berlaku di Perlis.
Dalam hantaran di Facebooknya, Ahli Parlimen Alor Setar itu menghuraikan episod hubungan Pas dan Bersatu selama menjalin kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
“Pas tidak rugi. Pas akan terus berjalan menuju destinasi menggapai redha Ilahi.
“Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami. Terima kasih kerana membuat dunia ini mengenali, siapa kawan sejati.
“Pergilah. Tak usah kembali lagi,”katanya.
Afnan dalam catatan itu melabel Bersatu sebagai ‘kawan’ yang lupa diri.
Menurut beliau, ‘kawan’ itu kini sudah pergi berjalan sendiri dengan merasakan diri sudah gagah hebat kuat.
“Manakala ‘kawan’ yang setia ini sudah ditinggalkan begitu sahaja.
“Tak mengapa kawan. Nak pergi, pergilah. Lepas ini, buatlah semuanya seorang diri. Bilik gerakan, kempen rumah ke rumah, pasang poster, gantung bendera, susun tempat ceramah, kawal keselamatan, buat kerja culaan, jadi ejen mengundi, ejen kira undi, jamuan kenduri.
“Buatlah sendiri. Ikutlah apa yang kami ajari kalau masih belum lupa diri,” bidas Afnan.
Memperincikan kisah kerjasama Pas dan Bersatu, Afnan memberitahu, siapa nak berkawan dengan Pas, Pas terima. Asalkan tidak mengganggu-gugat prinsip dan dasar Pas.
“Bila berkawan, Pas tunjuk bukti kesetiaan. Patuh arahan pimpinan. Sanggup letak tepi perasaan sendiri, demi nak jaga muafakat, nak jaga persahabatan. Bila berkawan, Pas buat apa sahaja nak jaga persahabatan.
“Sanggup korbankan kerusinya bagi kat ‘kawan’. Sanggup kerah jentera bantu bagi ‘kawan’ menang. Sanggup keluar duit ringgit kutip derma bantu ‘kawan’. Sanggup tak tidur siang malam bantu kempen ‘kawan’. Sanggup duduk diserang bersama supaya sama-sama susah sama-sama luka. Itulah setiakawan yang pernah Pas pamerkan.
“Selepas PRU15, kerusi Pas yang paling banyak di Parlimen. Tapi Pas tetap menamakan calon dalam kalangan ‘kawan’ untuk jadi calon Perdana Menteri. Ketika itu, semua ahli Parlimen Pas tanda tangan SD yang ada nama ‘kawan’. Walaupun dalam hati kecil mahu nama calon PM itu dari kalangan Pas, kerana kerusinya lebih banyak. Namun hasrat itu dipendam, kepentingan muafakat persahabatan lebih diutamakan.
“Ditakdirkan jadi pembangkang, Pas namakan Ketua Pembangkang dalam kalangan nama ‘kawan’. Walaupun Pas lebih besar jumlahnya, ‘kawan’ itu kurang jumlahnya. Tapi melihat kepada pengalaman dan kemampuan, Pas sanggup namakan ‘kawan’ untuk pikul jawatan itu. Itu setiakawan.
“Dalam satu PRK, Pas sanggup korbankan seorang pemimpin kanan pemudanya untuk jadi calon parti ‘kawan’. Bukan setakat jadi calon, bahkan sanggup korban keluar Pas masuk jadi ahli parti ‘kawan’, demi untuk jaga setiakawan. PRK itu tidak memihak kepada ‘kawan’. Bekas ahli Pas itu kekal jadi ahli parti ‘kawan’, demi sebuah pengorbanan.
“Ada YB ‘kawan’ yang menang, tak ada petugas untuk diambil jadi pegawai di pejabat Pusat Khidmat. Pas terima tawaran untuk jadi pegawai pejabat. Walaupun ada tawaran lain, Pas terima kerana nak jaga persahabatan,” kongsi Afnan lagi.
Malah katanya, apabila ketika krisis parti ‘kawan’, Pas elak untuk masuk campur, elak untuk beri kenyataan walaupun diasak bertubi-tubi oleh wartawan.
Ujar beliau, Pas memilih untuk diam daripada berkata, bimbang terluka hati ‘kawan’ bahkan jika respon sekalipun, Pas cermat memilih perkataan dan menyusun ayat, nak jaga hubungan ‘kawan’.
“Begitulah Pas dalam berkawan. Semua menjadi saksi kesetiakawanan Pas dalam berkawan,” keluhnya.



