Cukuplah ada satu 1MDB, Rafizi Ramli ingatkan rakyat jangan ulang sejarah

KUALA LUMPUR, — Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengingatkan rakyat agar tidak membenarkan skandal sebesar 1MDB berulang pada masa hadapan, sambil menegaskan bahawa perbezaan pandangan terhadap keputusan mahkamah tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina institusi kehakiman.

Reaksi itu disuarakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Najib Tun Razak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion, dengan hukuman masih belum dijatuhkan.

Menurut Rafizi, kes 1MDB merupakan episod panjang yang telah berlarutan hampir 15 tahun, bermula sejak keraguan terhadap pelaburan 1MDB dengan PetroSaudi timbul pada 2010, sehinggalah perbicaraan di mahkamah bermula pada 2019 dan keputusan yang dibacakan hari ini.

Beliau berkata rakyat berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah, namun pandangan tersebut perlu disandarkan kepada tanggungjawab menghormati undang-undang serta hujah penghakiman, bukan didorong oleh emosi atau tuduhan tidak berasaskan fakta.

Rafizi turut mengingatkan bahawa proses kehakiman masih belum berakhir dan akan melalui peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan, yang dijangka mengambil masa beberapa tahun lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau mengakui kes 1MDB adalah kes yang sangat memecah-belahkan rakyat dan sarat dengan emosi, namun menyeru semua pihak agar mencari ketenangan serta mengambil iktibar daripada episod tersebut demi masa depan negara.

Mengimbas penglibatan peribadinya, Rafizi berkata beliau pernah dijatuhkan hukuman penjara pada 2016 kerana mendedahkan laporan audit 1MDB, dan sepanjang tempoh 2013 hingga 2022 telah menulis lebih 120 artikel berkaitan skandal itu.

Beliau menegaskan bahawa hak mana-mana pihak untuk terus membela Najib atau menyokong keputusan mahkamah perlu dihormati selagi ia berlandaskan undang-undang, namun kegagalan mengambil pengajaran daripada kes 1MDB hanya akan membuka ruang kepada krisis yang sama berulang.

“Cukuplah ada satu 1MDB dalam sejarah kita,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat