Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited dan akan terus meneliti usaha yang mampan dan berkesan untuk mempertingkatkan penanaman serta pengeluaran hasil jagung bijian dengan sasaran keluasan kawasan bertanam sebanyak 15,000 hektar sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)
dengan produktiviti hasil sehingga 6 tan metrik per hektar menjelang tahun 2030.
Menterinya, Datuk Seri Hj. Mohamad Sabu berkata hasil pengeluaran jagung bijian ladang FGV menunjukkan hasil memberansangkan iaitu purata sekitar 4 tan metrik sehektar, Tanaman ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana keseluruhan bahagian tanaman dapat dimanfaatkan.
Projek rintis ini juga merekodkan pengeluaran biojisim fodder yang juga merupakan bahan makanan ternakan dengan produktiviti sekitar 19 tan metrik sehektar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 bertemakan ‘Jagung Bijian Sebagai Pemacu Keterjaminan Makanan Negara’ di Hotel Raia & Convention Centre, Kepala Batas, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, EXCO Pertanian, Perladangan & Pengangkutan, Hj. Dzowahir Ab. Ghani; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Dato’ Luqman Ahmad; dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian (DOA), Dato’ Norsam Alwi.
Mohamad berkata kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan memperluas pembangunan industri jagung bijian negara melalui penglibatan pemain industri berskala besar.
Menurut beliau inisiatif ini dizahirkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat-syarikat utama, iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dan Genting Plantations Berhad pada 19 September lalu.
Katanya, hasil daripada usaha bersepadu ini, sebanyak 15 syarikat swasta lain dikenal pasti berpotensi untuk menyertai inisiatif tersebut secara berperingkat dalam membangunkan industri jagung bijian negara secara komersial.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kita berjaya menterjemahkan komitmen tersebut kepada pelaksanaan sebenar di lapangan, sekali gus membuktikan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan dan industri mampu menghasilkan impak yang nyata, ”katanya lagi.
Terdahulu beliau melakukan melawat ke Ladang Jagung Bijian FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis, sebuah projek rintis berskala besar seluas kira-kira 2,000 hektar. Hasil awal yang dicapai amat memberangsangkan, dengan purata pengeluaran sekitar 4 tan metrik sehektar, selain penghasilan biojisim fodder untuk makanan ternakan
Ujarnya, usaha ini menjadi semakin signifikan apabila kita meneliti tahap kebergantungan negara terhadap import jagung bijian yang masih berada pada paras yang tinggi.
“Sepanjang tempoh 2010 hingga 2024, negara telah mengimport secara purata sebanyak 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun, dengan nilai import yang melebihi RM3 bilion setiap tahun, sekali gus memberi implikasi besar kepada imbangan dagangan serta keterjaminan bekalan makanan negara.
“Dalam konteks ini, industri ayam, telur dan ternakan ruminan merupakan antara subsektor utama yang menjadi tumpuan kerajaan memandangkan kebergantungan yang tinggi terhadap jagung bijian sebagai bahan makanan ternakan, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, ketika ini, kadar Tahap Sara Diri (SSR) masing-masing mencatatkan industri ayam sebanyak 93 peratus (%), telur 107.0% manakala ternakan ruminan masih rendah sekitar 17%, sekali gus menggambarkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sumber input domestik bagi menyokong kemampanan industri-industri berkenaan.
“Kerajaan melalui KPKM kini dalam peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara dengan pendekatan baharu yang melibatkan seluruh rantaian nilai, termasuk penyediaan kawasan penanaman, pemerkasaan infrastruktur dan mekanisasi, peningkatan produktiviti ladang, jaminan pasaran serta sokongan logistik dan pemprosesan.
“Dasar ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi satu komitmen nasional untuk membangunkan rantaian nilai jagung bijian secara mampan, berdaya tahan dan kompetitif, ”tambahnya lagi.
KPKM menerusi DOA dan Persatuan Pengeluar Jagung Bijian Malaysia (MGCPA) buat julung kalinya telah mengadakan persidangan ini, merupakan wadah strategik yang telah menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pemain industri jagung bijian, persatuan penternak ruminan, pengilang makanan ternakan, dan pemegang taruh bagi membincangkan hala tuju industri jagung bijian negara secara menyeluruh dan bersepadu. – SUARA.TV



