KUALA LUMPUR, — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sambil menyeru agar nilai kasih sayang, harapan dan perpaduan terus diperkukuh dalam masyarakat majmuk negara ini.
Dalam kenyataan media sempena perayaan Hari Natal 2025, beliau berkata sambutan tersebut bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan yang bersifat sejagat dan relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Menurut beliau, nilai-nilai seperti keharmonian, saling menghormati dan kebersamaan merupakan asas penting kepada pembinaan Malaysia Madani yang inklusif, tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan latar belakang.
“Di zaman yang penuh cabaran ini, semangat perpaduan dan kemanusiaan inilah yang akan terus mengukuhkan ikatan antara kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.
Beliau turut berharap agar perayaan Hari Natal tahun ini membawa kegembiraan, kedamaian serta mempererat hubungan sesama rakyat, di samping menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu membina negara yang lebih bersatu, sejahtera dan berdaya tahan.
Kenyataan tersebut diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Natal dan Tahun Baharu kepada semua penganut Kristian di negara ini.



