KUALA LUMPUR – Malaysia sedang menghadapi krisis maruah dalam kepimpinan, apabila perkara ini tidak diberikan perhatian secara istiqamah, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya kini berlaku dua isu yang sedang hangat dibincangkan. Kedua-duanya menerima hukuman daripada mahkamah dan mengangkat permohonan ampun kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut konsep Raja Berperlembagaan.
“Pertama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum dan meminta pengampunan, lalu diluluskan sehingga boleh bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) dan menjadi pemimpin utama negara.
“Adapun Datuk Seri Najib Tun Razak yang dihukum tetap tidak mengaku salah dan menerima hukuman, kemudian mengangkat permohonan (titah addendum) supaya diringankan, namun ditolak,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas.
Menurut Hadi, memohon pengampunan bermakna mengaku kesalahan dilakukan, maka pertimbangan diberikan sama ada permohonannya diterima ataupun sebaliknya mengikut proses Lembaga Pengampunan yang memenuhi syarat-syaratnya.
“Oleh itu, pihak yang telah dihukum berhak meminta agar hukuman diringankan, walaupun tetap tidak mengaku salah.
“Berbeza dengan pihak yang meminta pengampunan, hal ini bermakna dia telah mengaku salah, maka hilanglah maruahnya. Kalau bermaruah, sepatutnya tetap tidak mengaku salah walaupun dihukum. Ada orang sanggup mati kerana mempertahankan maruahnya.
“Adakah kita mengutamakan pihak yang tidak bermaruah dalam membuat penilaian yang adil lebih daripada pihak yang ingin mempertahankan maruahnya?
“Adakah wajar Pakatan Harapan (PH) melantik pemimpinnya seorang yang tidak bermaruah, yang mafhumnya mengaku salah memohon pengampunan terhadap kesalahannya yang telah diputuskan oleh mahkamah? soalnya.
Menurut Hadi, walaupun kedua-duanya tidak layak menjadi pemimpin kerana telah dihukum. Adapun yang tidak bermaruah kerana menjual maruah mereka dengan mengejar jawatan dan kedudukan, lebih-lebih lagi yang telah dihukum dan mengaku kesalahannya adalah paling tidak layak menjadi pemimpin seperti menghukum mati terhadap maruahnya.
“Islam mewajibkan syarat bermaruah dalam perkara yang menentukan konsep keadilan ditegakkan, bukan sahaja kepada pemimpin utama, bahkan termasuk jawatan-jawatan yang lain seperti dalam aspek kehakiman, bilamana maruah menjadi syarat dalam semua yang terlibat daripada hakim sehingga saksi. Begitu juga dalam tugas-tugas pentadbiran masyarakat, daripada perkara yang kecil seperti saksi perkahwinan dan jual beli sehinggalah perkara yang besar pada peringkat ketua negara.
Almarhum Abu al-A‘la al-Maududi, pemimpin Islam Pakistan terkenal yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tentera dipujuk supaya meminta pengampunan, namun beliau menjawab, “Saya tidak mahu melarikan diri daripada kematian yang mulia”.
“Kita berada pada akhir zaman dunia yang tidak mempedulikan maruah kerana harga diri manusia lebih dipengaruhi oleh nafsu kebendaan, sehingga tidak membezakan manusia dengan makhluk yang tidak berakal. Hal ini disebabkan manusia sudah berakal tidak sihat lagi, sehingga bertuhankan hawa nafsu dan hilang maruah kemanusiaannya.
“Oleh yang demikian, berlaku perkara luar biasa dalam kehidupan manusia sehingga tidak menghormati kemuliaannya yang dikurniakan Allah yang ada pada maruahnya yang menjadi salah satu daripada maqasid syariah. Sehinggakan manusia lebih menghormati hak binatang daripada hak diri manusia sendiri, walaupun manusia menjadi mangsa binatang buas yang menggila.
Di samping itu, manusia juga menjadi lebih ganas daripada binatang sehingga boleh merosakkan alam sekitar apabila meluluskan projek yang rakus terhadap kemewahan dan kebanggaan, dengan rasuah menjual projek atau tidak amanah melaksanakan projek, selain mencari kekayaan mengambil hasil bumi dan laut tanpa kawalan kerana kebendaan mengatasi harga diri.
“Akhirnya, menyusahkan kehidupan rakyat serta membawa bencana alam dan bencana akhlak yang tidak ada keselamatan dan keamanan.
Pemimpin yang tidak bermaruah juga sedia memacak bendera putih menyerahkan diri di bumi tanah airnya kepada sesiapa sahaja, sehingga menjemput kedatangan musuh yang menjajah semula dan bersedia menjadi abdi kepada mereka.
“Selamatkanlah negara dan umat dengan mempertahankan maruah kemanusiaan.
“Itulah amaran kepada mereka yang buta akal dalam pemilihan pemimpin yang membawa akibat buruk di dunia dan akhirat,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi, kepimpinan negara ialah amanah yang paling besar kerana wajib berlaku adil kepada semua, termasuk terhadap diri sendiri. Amanah ini dibebankan kepada manusia.



