KUALA LUMPUR – Umno didakwa hanya ‘sembang’ sahaja kononnya mahu memperhalusi kembali kerjasama dengan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin mengeluarkan kenyataan keterlaluan mengenai nasib menimpa bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, reaksi Umno nampak seolah-olah mereka marah kepada DAP tetapi hakikatnya mereka juga sedar bahawa kalau Umno tidak ada dalam kerajaan, pemimpin mereka akan dihadapkan dengan tindakan mahkamah.
Sebab itu kata Dr Mahathir, walaupun marah kepada DAP mereka sebenarnya adalah penyokong kuat DAP.
“Kerana kalau DAP tak ada, kerajaan akan jatuh, Umno pun jatuh juga.
“Jadi tak usah cakaplah Asyraf Wajdi, cakap saja awak tak berani buat. Awak sudah dikongkong, dikuasai oleh DAP sebenarnya. Nak cakap boleh, nak buat tak berani.
“Umno cuba nak ada ribut tapi sebenarnya tak ada ribut.
“Umno akan tunduk kepada DAP, tak usah cakaplah, awak semua sudah jadi perkakas DAP kerana kamulah yang mendirikan kerajaan dengan DAP,” katanya.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya Umno memperhalusi kembali kerjasama dengan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ini selepas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, didakwa mengeluarkan kenyataan keterlaluan mengenai nasib menimpa bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
“Kenyataan Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP ini adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.
“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekali pun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Apatah lagi yang dihina adalah bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar Umno yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk Umno memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.



