Limbungan kapal PNK Kuala Kedah jana pendapatan, pembangunan sosial nelayan

Oleh Zihan Zari

KUALA KEDAH – Limbungan Kapal Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah bukan sekadar infrastruktur, malah ia adalah komitmen kerajaan terhadap kemampuan sektor perikanan dan keterjaminan makanan negara.

Projek ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan infrastruktur perikanan kekal lestari dan menyokong kelangsungan perniagaan PNK.

Industri pembinaan dan pembaikan kapal merupakan sektor strategik yang diiktiraf d
di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Hj. Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah di Kg. Teluk Layang, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Hj. Muhammad Faiz Fadzil, Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Rashima Baharuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM,
Dr. Hj. Abdul Salim Tajudin; Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan (PMN), Norfajarwati Baharudin; Pengarah LKIM Kedah, Juliawati Jelani; dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari.

Mohamad berkata Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah dibangunkan dengan kos RM10.7 juta, mengambil masa empat tahun untuk disiapkan merupakan sebuah projek sosioekonomi yang penting dalam menjana pendapatan dan pembangunan sosial nelayan setempat.

Beliau berkata pemodenan limbungan perlu seiring dengan pembangunan tenaga kerja yang bertauliah dan tidak boleh lagi mengharapkan kemahiran pembaikan bot hanya bersifat warisan atau turun-temurun dari lingkungan keluarga yang sama sahaja.

Usaha yang sama perlu dilaksanakan untuk melahirkan modal insan yang mahir dan bertauliah dalam pembaikan kapal.

Menurut beliau limbungan ini, dioperasikan oleh tujuh orang pekerja sepenuh masa, kini mempunyai kapasiti untuk menerima enam buah bot atau kapal dalam satu-satu masa untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan merangkumi pelbagai saiz bot nelayan Zon A, B, C dan C2.

Menurutnya lagi, sehingga November lalu , sebanyak 50 buah bot dan kapal telah menerima perkhidmatan limbungan , membuktikan fungsinya sebagai fasiliti kritikal untuk kelangsungan operasi nelayan di Wilayah Utara.

“LKIM komited bahawa limbungan ini akan terus dinaiktaraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui Dasar Ekonomi Biru. Fokus utama adalah kepada naiktaraf komponen seperti bengkel berbumbung, peralatan pembaikan bot, cradle kapasiti besar, dan penaiktarafan sistem utiliti.

“Walaupun Malaysia terkenal dengan limbungan kapal berskala besar namun infrastruktur di peringkat umbi seperti Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah merupakan tulang belakang yang menyokong sebahagian besar kepada kapal ringan negara.

“Limbungan ini adalah usaha kerajaan di peringkat akar umbi bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat dan memodenkan industri serta menjadi pemangkin kepada kelangsungan operasi nelayan, ”katanya.

“KPKM sentiasa menyokong program latihan teknikal dan bekerjasama dengan limbungan PNK selain menggalakkan golongan muda nelayan merebut peluang menyertai kursus berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Keperluan pekerja – pekerja mahir di Malaysia kini semakin meningkat, oleh kerana itu TVET mendapat sambutan yang cukup hebat daripada anak-anak muda. Mereka yang berkelulusan TVET bercorak teknikal dan professional mendapat pendapatan yang agak tinggi dan lumayan serta mempunyai masa depan cerah, ”katanya lagi.

Ujarnya, limbungan kapal ini adalah contoh terbaik bagaimana PNK Kuala Kedah mengambil peranan aktif dalam rangkaian nilai industri pembinaan, pembaikan kapal dan bot nelayan.

Tambahnya, secara keseluruhan Malaysia mencatatkan jumlah pendaratan ikan meningkat kepada 1.39 juta tan metrik ™ dengan nilai RM 16.9 billion dan peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) perikanan negara kepada 91.6 peratus (%) pada 2024.

“Pendaratan ikan negara sehingga Oktober 2025 mencatatkan sebanyak 115,000 tm dengan nilai RM473 juta, manakala rekod kuantiti pendaratan ikan di Kuala Kedah pula adalah sebanyak 1,038 tm bersamaan RM6.3 juta.

“Statistik ini jelas membuktikan bahawa sektor perikanan turut memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,”tambahnya lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat