Cyberjaya – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menegaskan bahawa UMNO mempunyai hak sepenuhnya untuk menarik diri daripada Kerajaan Madani sekiranya parti itu merasakan isu pengampunan Dato’ Seri Najib Razak merupakan satu garis merah.
Menurut Rafizi, tindakan atau ugutan menarik sokongan daripada kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam politik negara dan pernah dibayangkan oleh parti lain sebelum ini.
“UMNO memang ada pilihan untuk menarik diri dari kerajaan. Sebelum ini pun, DAP pernah memberi bayangan bahawa mereka boleh menarik diri daripada Jemaah Menteri dan pentadbiran kerajaan sekiranya reformasi pentadbiran tidak dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata ugutan untuk keluar daripada kerajaan adalah hak setiap parti politik, namun rakyat akan menilai kesungguhan sesebuah parti berdasarkan tindakan sebenar, bukan sekadar tekanan politik.
“Kalau terlalu kerap mengugut untuk keluar tetapi akhirnya tidak keluar, lama-kelamaan ugutan itu akan menjadi tumpul,” katanya.
Rafizi turut menegaskan bahawa sebagai rakyat biasa, beliau dan orang awam hanya mahu memastikan setiap keputusan kerajaan dibuat berlandaskan undang-undang, tanpa campur tangan atau pengaruh tekanan politik.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi hanya akan wujud sekiranya semua pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, dilayan secara adil sebagai seorang rakyat biasa.
Dalam pada itu, Rafizi berkata Dato’ Seri Najib masih mempunyai ruang untuk meneruskan proses perundangan melalui rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Rakyat bukan sahaja akan melihat keputusan, tetapi akan meneliti hujah penghakiman hakim-hakim untuk membuat kesimpulan sama ada wujud tekanan atau campur tangan,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berkata kepimpinan UMNO kini diperhatikan rakyat bagi menentukan sama ada isu pengampunan Najib benar-benar merupakan satu garis merah buat parti tersebut.
“Jika ugutan keluar Kerajaan Madani dibuat tetapi akhirnya tidak berlaku, maka isu ini bukanlah satu garis merah,” katanya.



