KINABATANGAN — Politik wang di Sabah disifatkan sebagai “racun yang ditelan secara sukarela” apabila amalan itu bukan sahaja diketahui umum, malah semakin dinormalisasi dan diterima sebagai sebahagian daripada proses pilihan raya, kata Mohd Naim Moktar.
Dalam satu hantaran panjang di Facebook, Naim menegaskan politik wang bukan lagi sekadar khabar angin, sebaliknya telah menjadi rahsia terbuka yang diamalkan oleh pemberi dan penerima tanpa rasa bersalah, sehingga wujud ungkapan tidak rasmi “tiada duit, tiada undi”.
Menurut beliau, perbelanjaan besar oleh parti dan calon ketika pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai sedekah, sebaliknya satu bentuk pelaburan politik yang akhirnya akan “dituntut semula” selepas kuasa diperoleh.
“Apabila kuasa diperoleh, Sabah akan diperah untuk memulangkan semula modal yang telah dibakar. Rakyat membayar harga sebenar bukan pada hari mengundi, tetapi sepanjang tempoh pemerintahan,” katanya.
Naim berkata akibat politik wang, ukuran terhadap wakil rakyat berubah daripada kejujuran dan khidmat bakti kepada keupayaan menghulurkan wang, sekali gus menyebabkan calon berwibawa, bersih dan berwawasan tersingkir kerana gagal bersaing dalam “pesta membeli sokongan”.
Beliau turut mengakui hakikat pahit bahawa wakil rakyat yang benar-benar telus tidak akan menjadi kaya-raya, sambil menegaskan selagi politik wang diraikan, Sabah akan terus kaya dengan sumber tetapi miskin dengan masa depan.
Dalam kenyataan susulan, Naim menegaskan pendiriannya itu bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana parti, sebaliknya melihat politik wang sebagai masalah sistemik yang telah berakar umbi dalam proses pilihan raya, khususnya di Sabah.
Beliau menggesa pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pilihan raya, termasuk menyemak semula had perbelanjaan kempen RM100,000 yang disifatkan tidak realistik, terutama bagi kawasan luas dan mencabar dari segi geografi.
“Undang-undang yang mustahil dipatuhi hanya menggalakkan penipuan, bukan kejujuran,” katanya, sambil mencadangkan had perbelanjaan disesuaikan berdasarkan keluasan kawasan dan jumlah pengundi.
Naim juga mencadangkan ketelusan sumbangan politik diperkukuh melalui pendedahan dan audit oleh badan bebas, selain mewajibkan setiap calon membuka akaun khas pilihan raya bagi merekodkan semua sumbangan dan perbelanjaan kempen.
Selain itu, beliau mencadangkan peluasan kaedah undi awal dan undi pos, khususnya kepada pengundi yang berhijrah sementara untuk bekerja atau melanjutkan pelajaran, bagi mengurangkan kos pulang mengundi yang tinggi dan menutup ruang manipulasi politik.
Naim turut menegaskan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya perlu dilaksanakan secara lebih konsisten dan berani, sambil menyifatkan politik wang sebagai “kanser” yang menjangkiti bukan sahaja ahli politik, malah masyarakat keseluruhannya.
“Perubahan ini bukan untuk kepentingan mana-mana parti, tetapi demi masa depan demokrasi, maruah pilihan raya dan masa depan Sabah yang lebih adil dan bermaruah,” katanya.-SUARATV



