Oleh Zihan Zari
SEMENYIH – Program Engineering Civic Action (ENCAP) merupakan satu inisiatif Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menyediakan bantuan kemanusiaan dengan membina dan menambah baik infrastruktur tempatan seperti rumah, sekolah, klinik, dan jalan raya, di samping memberikan latihan kepada anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta mengukuhkan perkongsian tempatan melalui projek kerjasama.
Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal telah merasmikan Program ENCAP Peringkat 4 Divisyen di Kampung Pasir Baru, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Staf Markas 11 Briged, Lt Kol Muhammad Shazarikh Shaad; Penghulu Mukim Semenyih; Muhamad Safuan Shafie; dan Ketua Kampung Pasir Baru merangkap Pengerusi JPKK, Abdul Halim Abdullah.
Sel Perhubungan Raya, Markas 4 Divisyen dalam kenyataan berkata program
ENCAP merupakan salah satu program di bawah Civil Military Cooperation
(CIMIC) yang mana pihak tentera turun padang membantu orang ramai dan masyarakat.
“Projek-projek ini, yang merupakan sebahagian daripada latihan kecil bertujuan untuk membina komuniti yang lebih kukuh dan mengeratkan hubungan tentera dan awam dengan memberikan penambahbaikan kepada penduduk setempat.
“Skuadron Ke-Dua RAJD di bawah naungan 4 Divisyen telah dipertanggungjawab dan diatur gerak sepenuhnya untuk menyelaras serta melaksanakan keseluruhan projek melibatkan baik pulih dan penyelenggaraan Dewan Orang Ramai Kg Pasir Baru, yang berkeluasan 27.8 meter persegi, ”kata kenyataan itu.
“Seorang pegawai dan 14 anggota Lain-lain Pangkat telah terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dijalankan.
“Sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan khusus bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dewan berkenaan, merangkumi aspek
pembaikan struktur, kemudahan asas serta penyediaan ruang yang lebih selamat, selesa dan berfungsi untuk kegunaan orang ramai, ”katanya.
“Antara skop kerja yang dilaksanakan termasuk kerja mengikat bata dan melepa dinding dalaman serta luaran, penggantian komponen bukaan seperti pintu, bingkai dan cermin tingkap, kerja baik pulih sistem tandas, dan pemasangan awning luar.
“Selain itu, kerja pengecatan semula, pembaikan siling dan struktur bumbung, pembaikan lantai dan ruang dewan, selain kerja kemasan akhir bagi memastikan keseluruhan fasiliti berada dalam keadaan optimum,”katanya lagi.
“Kerja-kerja baik pulih telah bermula pada 14 Julai 2025 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 6 Oktober 2025 , sekali gus menjadikan dewan tersebut kembali beroperasi sebagai pusat aktiviti masyarakat, majlis rasmi, program komuniti dan urusan setempat.
“Komuniti setempat di kampung ini, kini telah menerima manfaat melalui pelaksanaan projek baik pulih Dewan Orang Ramai tersebut, ”ujarnya.
“Pelaksanaan ENCAP juga mencerminkan komitmen 4 Divisyen dan TDM dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui projek berbentuk kesejahteraan awam.
“Di samping itu, mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan infrastruktur komuniti dipelihara dengan baik demi manfaat penduduk di bawah naungan kawasan tanggungjawab 4 Divisyen, ”ujarnya lagi. -SUARA.TV



