MCA, MIC dikecualikan sepenuhnya dalam rombakan Kabinet – Lian Ker kata DAP pemenang senyap

KUALA LUMPUR – Bukan satu kebetulan apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zahid Hamidi, memberi amaran kepada parti-parti komponen supaya “jangan menyesal jika keluar BN kerana tidak akan diterima kembali” ketika merasmikan Perhimpunan Agung Indian Progressive Front (IPF).

Menurut bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker, walaupun amaran ini kononnya ditujukan kepada MIC, ia disampaikan serentak dengan penolakan Zahid terhadap amaran Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, yang menyatakan MCA akan meninggalkan BN sekiranya Umno bekerjasama dengan DAP dalam PRU16.

“Apabila Wee Ka Siong mengeluarkan amaran itu di AGM MCA, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zakarshi, segera membalas – “Tak perlu tunggu — Umno akan bekerjasama dengan DAP dalam PRU16!”

“Kenyataan ini mungkin kelihatan peribadi. Tetapi dalam politik Umno, tiada siapa akan “sai lang” dan menolak semua cip ke tengah meja tanpa restu ketua. Jangan kita pura-pura naif.
Mesejnya jelas dan terang.

“MCA mungkin masih bercakap keras hari ini. Namun apabila push comes to shove, MCA tidak akan mengaum seperti raja singa. Ia akan keluar BN secara senyap jika berani keluar sekalipun.
Amaran Zahid jelas bukan hanya untuk MIC apabila beliau berkata: “Landskap politik akan berubah saya yakin ia akan berubah kerana dalam tempoh 24 bulan menuju PRU16, banyak perkara boleh berlaku dan hampir pasti akan berlaku.

“Maka saya katakan, jangan menyesal jika keputusan tidak dibuat selaras dengan perubahan landskap politik.” Ini adalah serangan awal,” kata Lian Ker dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Kini katanya, selepas rombakan Kabinet diumumkan dan MCA serta MIC dikecualikan sepenuhnya persoalan sebenar tidak lagi boleh dielakkan iaitu adakah MCA dan MIC akan menunggu untuk ditendang keluar? Ditolak ke tepi? atau meninggalkan BN dengan saki-baki maruah yang tinggal?

“MIC telah memainkan kad terakhirnya.

“Umno pula telah membuka kad ketiga dan keempat sambil menyimpan kad terakhir tertutup, meneruskan kerjasama dengan DAP (UMDAP) dalam PRU16.

“MCA pula masih duduk di meja memegang cip — tanpa sebarang kad dalam permainan poker politik ini,” kata Lian Ker memberi gambaran situasi politik hari ini.

Dalam pada itu, beliau menghuraikan beberapa penjelasan yang akan berlaku seterusnya.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menawarkan MIC satu jawatan Menteri dan satu jawatan Duta. Tawaran itu tidak gagal kerana MIC menolaknya.

“Ia tersekat kerana halangan daripada Pengerusi BN sendiri yang kemudiannya dipanggil pembohong secara terbuka.Dan ketika MIC tersekat dan MCA dipinggirkan, DAP muncul sebagai pemenang sebenar secara senyap.

“Dengan berjaya menghalang kemasukan MIC ke dalam Kabinet, DAP mengukuhkan dominasinya,” bidas Lian Ker.

Sementara itu kata beliau, MCA pula menjadi mangsa sampingan terpinggir, tidak berkuasa, tidak bersuara, dan dimalukan.

“Adakah ini satu kebetulan? Atau satu checkmate politik yang dirancang rapi?

“Hakikatnya pahit iaitu MIC dijadikan cip tawar-menawar. MCA dinyahdayakan tanpa sebarang tentangan.

“Kepimpinan BN kini terdedah lemah, berpecah dan tiada hala tuju. Ya, BN menang 6 kerusi di Sabah — tetapi momentum itu lenyap akibat pergaduhan terbuka dan penghinaan terhadap rakan sendiri.

“DAP pula, walaupun kalah semua 8 kerusi yang ditandinginya, tetap muncul sebagai pemenang. Kenapa? Kerana DAP mencapai objektif sebenar mereka menyingkirkan MCA dan MIC daripada kuasa — tanpa perlu bising di khalayak. DAP menang.

“Episod ini membuktikan satu perkara tanpa ragu yakni pelantikan Kabinet bukan lagi soal perwakilan, keadilan atau mandat rakyat. Ia soal leverage. Soal siapa boleh dibuang. Dan siapa boleh dipinggirkan tanpa akibat.

“Jika parti sendiri gagal mempertahankan maruahnya, bagaimana ia mahu mempertahankan maruah komuniti yang diwakilinya? soal beliau.

Menurut Lian Ker lagi, Zahid mungkin telah “menentukan haluan politik” dengan tegas tetapi ia dilakukan dengan mengorbankan BN sendiri.

“Apa yang bakal berlaku seterusnya sudah jelas.

“Politik adalah soal kuasa dan dalam pusingan ini, imbangan kuasa sangat menyakitkan untuk dilihat. Sayonara? ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat