Kes Pemain Warisan, ICC gagal peroleh kerjasama penuh, saran laporan polis segera

KUALA LUMPUR, – Jawatankuasa Penyiasatan Bebas (Independent Investigation Committee, ICC) mengesahkan ia gagal memperoleh kerjasama penuh pihak berkaitan dalam siasatan kes FIFA melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan, sekali gus menyarankan supaya laporan polis dibuat segera.

Dalam bahagian Kesimpulan laporan rasminya, ICC menyatakan ia tidak dapat menentukan secara konklusif pihak yang memalsukan dokumen yang dipertikaikan kerana Notari Awam yang mengesahkan dokumen berkenaan tidak memberi kerjasama, manakala ejen kepada pemain-pemain terlibat pula tidak dapat dikesan walaupun usaha munasabah telah dilakukan.

Walaupun demikian, ICC menegaskan bahawa kegagalan mengenal pasti pelaku tidak menafikan wujudnya kegagalan serius dari segi pengawasan, ketekunan dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM, yang membenarkan insiden tersebut berlaku tanpa dikesan atau dicegah lebih awal.

ICC secara jelas menasihatkan supaya FAM segera membuat laporan polis, mengambil tindakan tatatertib dalaman terhadap kegagalan pengawasan serta melaksanakan pembaharuan struktur seperti yang disyorkan oleh jawatankuasa tersebut. Menurut ICC, langkah-langkah ini penting bagi mencegah pengulangan insiden sama serta memulihkan kredibiliti dan integriti operasi FAM.

Kes FIFA ini melibatkan tujuh pemain warisan yang sebelum ini diturunkan dalam perlawanan rasmi pasukan kebangsaan, iaitu Gabriel Felipe Arrocha (Sepanyol), Facundo Tomas Garces (Argentina), Rodrigo Julian Holgado (Argentina), Imanol Javier Machuca (Argentina), Joao Vitor Brandao Figueiredo (Brazil), Juan Muniz (Brazil) dan Hendrick Jan Hewel (Belanda). Kesemua mereka dirujuk dalam laporan ICC sebagai “the Seven Players”.

FIFA sebelum ini mendapati FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan penggunaan dokumen yang dipertikaikan dalam prosiding FIFA, khususnya dokumen sokongan berkaitan kelayakan pemain di bawah Peraturan FIFA. Keputusan itu membawa kepada denda kira-kira CHF350,000 ke atas FAM serta penggantungan selama 12 bulan ke atas ketujuh-tujuh pemain daripada semua aktiviti bola sepak.

ICC turut menegaskan bahawa kes ini bukan isu kesahihan kewarganegaraan kerana kewarganegaraan pemain-pemain berkenaan diberikan melalui proses naturalisasi mengikut Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun, ICC mengingatkan bahawa kewarganegaraan tidak secara automatik melayakkan seseorang mewakili negara di peringkat antarabangsa, kerana kelayakan tersebut tertakluk sepenuhnya kepada Peraturan FIFA.

Laporan ICC setebal 27 halaman itu turut menyatakan bahawa kes FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain ini merupakan isu kepentingan awam dan berpandangan laporan siasatan tersebut wajar didedahkan kepada umum. ICC menegaskan bahawa pendedahan ini penting bagi memastikan kebertanggungjawaban institusi dan mengembalikan kepercayaan terhadap pengurusan bola sepak negara. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat