KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan DAP supaya tidak tunjuk taring dengan mengugut mahu keluar Pakatan Harapan (PH) jika tuntutan tidak dipenuhi selepas kalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu menegaskan, tindakan tersebut adalah satu kesilapan besar dan tidak wajar apabila DAP yang kalah dalam PRN tersebut mahu menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PKR.
“DAP jangan tunjuk taring, jangan tunjuk kuku. Kita masih perlukan (satu sama lain dalam Pakatan Harapan). Tak eloklah ugut-ugut seperti itu walaupun bahasa dia cantik.
“DAP sebahagian daripada kerajaan dan dalam Kabinet sekarang bukan semua menteri daripada PKR. UMNO dan (parti) Warisan pun ada (dalam Kabinet). DAP pun ada. Kebetulan Anwar jadi Perdana Menteri.
“Kalau ada masalah kekalahan ini tanggungjawab bersama-sama, jangan kita kalah di Sabah, kita salahkan Perdana Menteri, itu tidak adil, PKR pun kalah juga, jadi jangan cari alasan (untuk keluar PH),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada Korperal Abdul Halim Nasir Abd Jamil iaitu anggota Balai Polis Permas Jaya yang terlibat kemalangan di rumahnya Bandar Seri Alam di Pasir Gudang, lapor MalaysiaGazette pada Isnin.
Hassan mengingatkan DAP supaya tidak menjadikan PH seperti ‘habis madu sepah dibuang’ apabila mahu meninggalkan gabungan itu selepas meramalkan PH sukar menang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Katanya, DAP mempunyai sejarah pernah beberapa kali keluar daripada gabungan politik bersama-sama PKR dan parti komponen lain PH sebelum ini selepas gabungan disertai gagal membentuk kerajaan.
Contohnya kata beliau, semasa DAP bersama-sama Semangat 46 dan parti pembangkang lain dalam Gagasan Rakyat menyertai pilihan raya umum pada 1990 dan 1995 dengan kedua-duanya kalah, DAP meninggalkan gabungan politik tersebut.
“Itu pertama kali DAP keluar dan meninggalkan Tunku Razaleigh Hamzah (Presiden Semangat 46), kedua selepas tertubuh Barisan Alternatif (BA) semasa Anwar di penjara pada 1998, apabila tak menang pilihan raya pada 1998 dan 2004, DAP keluar BA dan yang tak keluar gabungan itu adalah PKR.
“Kemudian pada pilihan raya 2008, (pembangkang) menang banyak terutama di beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kemudian sampai 2013, Pakatan Rakyat (gabungan parti-parti pembangkang masa itu) masih ada lagi tapi dalam pilihan raya gagal jadi kerajaan,” katanya.
Selepas itu katanya, DAP keluar Pakatan Rakyat sebelum parti-parti pembangkang menubuhkan PH pada 2015 dan DAP menyertai gabungan itu selepas melihat peluang untuk menang dalam pilihan raya.
“Mula-mula DAP bergaduh dengan Semangat 46 lepas tu berselisih faham dengan Pas. Selepas itu pada 2018 lihat ada peluang (selepas menang pilihan raya), dia jadi (sertai) kerajaan, Lim Guan Eng (Penasihat DAP) jadi Menteri Kewangan.
“Lepas itu pada 2022 tengok dalam pilihan raya ada peluang lagi (menang pilihan raya) dan Anwar jadi Perdana Menteri, dia sokong Anwar. Tapi sekarang ini PRU-16 mungkin dia tengok PKR dah tak boleh menang ke apa, nak tinggalkan (PH). Habis madu sepah dibuang kata orang Melayu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAP supaya tidak membuat kesilapan besar dengan meninggalkan PH.
“Kita tidak akan lupa, sepanjang bersama-sama daripada BA hingga PH. Sekarang parti yang tulen dalam PH adalah PKR. Kalau nak jadi kerajaan yang berbilang kaum mesti bersama-sama PH dan PKR.
“Kalau DAP salah tangani isu ini, jangan salah nanti kekuasaan negara ini dikuasai gabungan parti-parti Melayu keseluruhannya dan DAP akan jadi pembangkang, tiada peranan apa-apa,” katanya lapor portal itu di Johor.
Justeru kata beliau, sekiranya tidak mahu itu berlaku, DAP perlu bersama-sama PKR menyelesaikan masalah dengan mengadakan mesyuarat dan bukan dengan ugutan.
Dalam PRN Sabah yang berlangsung 29 November lalu, PH mengalami kekalahan teruk apabila memenangi hanya satu kerusi di sebalik pelbagai strategi dan kerjasama yang dijalin dengan parti lain.
Satu-satunya kerusi yang dimenangi PH ialah Melalap melalui calon PKR, Jamawi Ja’afar. DAP pula kalah di semua lapan kerusi yang ditandingi.
Reaksi segera yang ditunjukkan DAP hasil keputusan di Sabah itu antara lain ialah memberi kata dua kepada kerajaan pimpinan Pengerusi PH, Anwar agar segera melaksanakan pembaharuan institusi.
DAP memberikan tempoh enam bulan kepada Putrajaya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata jika sehingga tarikh akhir itu perubahan yang dituntut tidak dipenuhi, parti itu akan mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Kabinet, namun tetap terus menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.



