KUALA LUMPUR, – Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyeru parti-parti politik teras yang wujud sebelum kemerdekaan agar membuang ego kepimpinan dan duduk semeja demi memperkukuh perpaduan Melayu serta memulihkan kekuatan negara.
Menurut beliau yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO, sebarang usaha untuk membina perpaduan Melayu tidak akan lengkap selagi parti-parti utama yang terlibat secara langsung dalam proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan enggan bekerjasama dan terus berpecah kerana kepentingan politik sempit.
“Isu perpaduan Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada sejarah pembentukan negara. Parti-parti teras kemerdekaan mempunyai tanggungjawab besar terhadap kelangsungan amanah perlembagaan,” katanya ketika mengulas dapatan dan resolusi Konvensyen Perkara 153 yang berlangsung hari ini.
Tulisam beliau dipercayai merujuk kepada UMNO, PAS, MCA dan MIC yang merupakan parti pra hari kemerdekaan yang masih wujud sehingga kini.
Annuar juga berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya difahami semata-mata sebagai isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak, sebaliknya sebagai satu amanah besar yang diletakkan di bawah tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Beliau turut merujuk kupasan Tan Sri Dr Rais Yatim yang disifatkannya sebagai membuka mata banyak pihak, khususnya mengenai kedudukan institusi Raja dalam Perlembagaan.
“Perkataan Yang di-Pertuan Agong disebut ratusan kali dalam Perlembagaan, manakala perkataan Melayu disebut puluhan kali. Ini menggambarkan betapa rapat dan tidak terpisahnya kedudukan Melayu dengan institusi Raja,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar menyuarakan kebimbangan bahawa kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu, khususnya Majlis Raja-Raja, berdepan risiko terhakis secara tidak sedar akibat kelalaian dalam amalan pentadbiran dan politik.
“Persoalannya, adakah kita benar-benar merujuk dan mempersembahkan maklum kepada Raja-Raja dalam perkara-perkara yang menyentuh amanah besar ini, atau sekadar menjadikan institusi Raja sebagai simbol semata-mata?” katanya.
Mengulas isu perpaduan Melayu, beliau menegaskan PAS kekal istiqamah dalam usaha penyatuan, sambil menegaskan sudah tiba masanya UMNO kembali ke landasan asal perjuangan demi kepentingan bangsa dan negara.
“Buanglah ego pemimpin. Masa depan negara dan kestabilan politik Melayu jauh lebih besar daripada kepentingan individu atau parti,” katanya. -SuaraTV



