Pada 12 Disember 2025, Odeon menyaksikan sebuah malam yang sukar dilupakan apabila Pentas Barbarik Live berlangsung bermula jam 9.00 malam. Persembahan ini bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya hadir sebagai pengalaman muzik yang hidup, penuh emosi dan penceritaan, di mana setiap lagu disusun seakan membawa penonton menyusuri perjalanan jiwa dan pemikiran Barbarik sendiri.
Pentas Barbarik Live @ Odeon dibarisi oleh barisan pemuzik yang menjadi tunjang kekuatan persembahan malam tersebut. Di hadapan, Muss tampil sebagai vokalis utama yang mengemudi keseluruhan naratif konsert dengan penuh penghayatan dan kejujuran. Setiap lontaran vokalnya terasa dekat, seolah-olah berbicara terus dengan penonton. Beliau disokong oleh Jo Branko di posisi gitar yang menjadi tulang belakang bunyi Barbarik, malah berperanan sebagai arkitek perjalanan persembahan konsert ini, merangka aliran lagu, dinamik emosi dan struktur persembahan dari awal hingga akhir. Ainol di dram memacu denyut dan intensiti persembahan, manakala Rozaimi di bass mengikat keseluruhan tekstur muzik agar kekal padu dan berlapis.

Walaupun persembahan ini diangkat sebagai acara perasmian untuk Odeon, sambutan yang diterima ternyata di luar jangkaan. Malam tersebut benar-benar mencatatkan suasana pecah panggung, dengan dewan dipenuhi penonton sehingga ke had maksimum. Namun dalam keghairahan tersebut, berlaku kegagalan pihak penganjur apabila tiket dijual melebihi kapasiti dewan, menyebabkan ramai peminat yang telah membeli tiket secara sah tidak dapat masuk dan terpaksa terkandas di luar. Situasi ini menimbulkan ketidakselesaan serta kekecewaan, terutamanya kepada peminat yang telah lama menantikan peluang menyaksikan Barbarik secara langsung.
Pihak Barbarik kemudiannya tampil dengan kenyataan rasmi, menzahirkan simpati dan permohonan maaf kepada para pembeli tiket yang tidak berpeluang menikmati persembahan pada malam tersebut. Tindakan ini memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan keprihatinan mereka terhadap peminat, meskipun isu berkenaan berpunca daripada kelemahan pengurusan penganjur, tetapi bagi Barbarik “THE SHOW MUST GO ON” Demi Peminat yang hadir.
Konsert ini hadir sebagai kesinambungan kepada kejayaan konsert Peluru Cokelat sebelum ini, yang telah mengukuhkan kedudukan Barbarik sebagai kumpulan yang konsisten, berani dan berdisiplin dalam persembahan pentas. Kejayaan terdahulu itu menjadi landasan kukuh, manakala persembahan di Odeon memperlihatkan kematangan Barbarik dalam mengolah muzik keras dan puitis menjadi sebuah pengalaman langsung yang tersusun dan bermakna.

Tirai malam dibuka dengan lagu “Peluru Cokelat”, diserikan dengan bunyian serunai Awe yang mencipta suasana ritual dan dramatik sejak detik pertama. Pembukaan ini segera menarik perhatian penonton, sebelum momentum diteruskan dengan “Hidup Sederhana”. Aliran emosi semakin mendalam apabila “18000 Sayap” dipersembahkan, ditutup dengan fade in piano solo oleh Lee yang memberi ruang kepada vokal masuk secara perlahan dan menyentuh.
Persembahan bergerak lancar ke “Hati Sulam Lain”, diikuti transisi ke “Kasmaran” yang mengekalkan aliran emosi tanpa memutuskan fokus penonton. Tenaga konsert kembali meningkat menerusi “GG Gemurah”, sebelum dibawa ke suasana yang lebih tegang dan reflektif melalui “Krisis Dipertengahan…” dan “Pesona Sanubari”.
Di pertengahan konsert, kemunculan Black dan Eddie memberi warna berbeza kepada persembahan. Sentuhan blues yang dibawa menjadi lebih menyerlah dalam “Blues Ular Sawa”, dengan Black memberi isyarat intro dari posisi pentas. Lagu ini berakhir dengan suasana cerah dan bertenaga, sebelum aliran muzik diteruskan sebagai jambatan kepada “Hukum Karma” yang ditamatkan secara dramatik.

Bahagian akhir konsert membawa penonton ke fasa yang lebih reflektif dan emosional menerusi “Opera Hidup”, “Gelap Nan Terang” dan “Jerangkung Dalam Almari”. Persembahan kemudian menuju ke penutup dengan Medley SS serta “Nasib Baik”, sebelum Muss kembali ke pentas untuk menyampaikan ucapan perpisahan. Black dan Eddie turut dijemput semula untuk bersama-sama menutup malam tersebut dengan lagu “Keris Tak Ada Sarung”, sebuah penamat yang terasa simbolik dan penuh makna.
Secara keseluruhan, Pentas Barbarik Live @ Odeon membuktikan bahawa Barbarik bukan sekadar sebuah kumpulan muzik, tetapi pencerita yang menggunakan bunyi, lirik dan persembahan pentas sebagai bahasa utama mereka. Walaupun dicemari isu pengurusan penganjur, malam tersebut tetap tercatat sebagai sebuah persembahan yang jujur, beremosi dan meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa yang hadir.



