CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh menegur Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kenyataannya untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Dalam video yang dimuat naik di media sosial, Akmal menegaskan seorang menteri sewajarnya memahami dasar pendidikan negara sebelum mengemukakan cadangan sedemikian.
Menurutnya, dasar pendidikan negara menetapkan tiga syarat utama: penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, penggunaan kurikulum kebangsaan, serta menduduki peperiksaan yang sama seperti pelajar lain.
“Dasar pendidikan negara ni ada tiga je. Yang pertama adalah, mesti menggunakan bahasa pengantar iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Yang kedua adalah, mesti menggunakan kurikulum yang sama iaitu kurikulum kebangsaan… Yang ketiga adalah, mesti menduduki peperiksaan yang sama,” katanya.
Akmal mendakwa UEC tidak memenuhi ketiga-tiga syarat tersebut.
“UEC ni tidak langsung menepati tiga-tiga ni… UEC tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama… UEC tidak menggunakan kurikulum kebangsaan… UEC tak ada buat peperiksaan yang sama macam kita di SPM dan STPM,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia telah memberi pelbagai kelonggaran kepada pengendali UEC sejak puluhan tahun lalu, termasuk kebenaran beroperasi pada tahun 1975, penerimaan masuk ke IPTS pada 2004, serta akses ke program pendidikan Bahasa Cina di bawah IPG pada 2010.
Selain itu, katanya, UEC turut diterima sebagai kelayakan dalam peperiksaan PSAG pada 2019.
Dalam masa sama, Akmal mempersoalkan keperluan pengiktirafan penuh kerana katanya, tiada negara lain memberi layanan sedemikian terhadap sistem pendidikan yang bukan daripada arus perdana mereka.
“You pergi Singapura, adakah Singapura itiraf sistem lain daripada sistem kebangsaan mereka? Jawapannya, tidak,” katanya.
Akmal menggesa kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya tidak tunduk kepada tuntutan pengiktirafan UEC.
“Saya rayu sangat-sangat, janganlah kita nak itiraf UEC ni. Kerana apa, selagi mana UEC ni tidak menepati dasar pendidikan negara, selagi itulah kita tidak boleh itiraf UEC… Tiada keperluan untuk kita itiraf UEC,” kata Akmal.



