KUALA LUMPUR – Pertempuran bersenjata terkini membabitkan pasukan Kemboja dan Thailand di sempadan berisiko merungkai usaha bersepadu yang telah dilakukan untuk menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara jiran tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Pengerusi ASEAN menggesa Kemboja dan Thailand untuk mengamalkan kawalan diri yang maksimum.
“Saya amat bimbang dengan laporan pertempuran bersenjata antara pasukan Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan bersama mereka.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban atau cedera.
“Pertempuran yang diperbaharui ini berisiko merungkai usaha teliti yang telah dilakukan untuk menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara jiran tersebut,” katanya pada Isnin.
Menurut Anwar, Thailand dan Kemboja merupakan rakan rapat Malaysia dan ahli utama ASEAN.
“Justeru kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengamalkan kawalan diri yang maksimum, mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka dan menggunakan sepenuhnya mekanisme yang ada.
“Malaysia bersedia untuk menyokong langkah-langkah yang dapat membantu memulihkan ketenangan dan mengelakkan insiden selanjutnya,” ujar Perdana Menteri lagi.
Tegas beliau, rantau kita tidak mampu melihat pertikaian yang telah lama berlarutan menjadi kitaran konfrontasi.
“Keutamaan segera adalah untuk menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, dan kembali ke laluan diplomatik yang disokong oleh undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan yang menjadi tumpuan ASEAN,” kata beliau.
Awal hari ini media melaporkan, tentera Thailand berkata seorang anggotanya maut, manakala beberapa lagi cedera dalam pertempuran sempadan terbaharu dengan Kemboja.
Kedua-dua pihak saling menuding jari dalam pertempuran terbaharu di sempadan mereka.
Terkini dilaporkan, Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara itu, sekali gus menandakan kemungkinan runtuhnya pelan damai yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dua bulan lalu.



