KUALA LUMPUR – Pas menawarkan dialog terbuka bagi menjernihkan kekeliruan MCA yang mendakwa ideologi parti Islam itu sukar diterima masyarakat Cina.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, Pas bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama malah sentiasa memilih jalan rundingan dan harmoni dalam menyelesaikan perbezaan.
“Saya mengambil maklum kenyataan Presiden MCA sebagaimana dilaporkan semalam. Apa juga pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka dan bukan melalui persepsi yang tidak lengkap. Saya ingin menegaskan bahawa kami sentiasa bersedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan.
“MCA sendiri pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional dan mengetahui secara dekat pendekatan Pas ketika mentadbir.
“Sepanjang tempoh itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara Pas dan MCA yang membawa perbalahan terbuka. Situasi ini berbeza dengan apa yang kita lihat dalam kalangan parti-parti kerajaan hari ini, yang sering berdebat di khalayak secara tidak produktif.
“Pengalaman pentadbiran bersama ini sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa Pas bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama, malah sentiasa memilih jalan rundingan dan harmoni dalam menyelesaikan perbezaan.
“Jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu Pas sentiasa terbuka untuk dialog,” jelasnya.
Semalam Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dinaungi parti Pas, kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti itu.
Ka Siong, berkata tindakan segelintir pemimpin Pas yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali gus menyerlahkan konservatisme agama dan menyinggung perasaan penganut agama lain menyebabkan parti bukan Islam tidak sehaluan dengan PN.
Mengulas lanjut katanya, keadaan itu mungkin berbeza jika Pas membuat pembaharuan dalam partinya dengan menggunakan pendekatan lebih sederhana dan diterima masyarakat majmuk.



