Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah melancarkan kad identiti digital pelbagai fungsi dan kad pembayaran gaji yang direka bagi mempertingkatkan pengurusan tenaga kerja, memperkukuh pematuhan peraturan serta menambah baik kebajikan pekerja di seluruh sektor pembinaan.
Inisiatif ini sebagai satu langkah besar ke hadapan bagi sektor pembinaan Malaysia sambil menekankan peranannya dalam memperkukuh ketelusan, keselamatan dan tadbir urus di tapak pembinaan di seluruh negara, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu (Kad Hijau) di Hotel Hilton, 3, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur Sentral, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi CIDB, Dato Ir. Haji Yusuf Haji Abd. Wahab; dan Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal.
Alexander berkata di bawah Akta CIDB (Akta 520), pendaftaran personel binaan adalah diwajibkan. Sehingga kini, CIDB telah mendaftarkan seramai 1,168,104 personel binaan, merangkumi 710,582 pekerja tempatan dan 457,522 pekerja asing.
Menurut beliau Kad Hijau baharu ini melangkaui fungsi kad pengenalan fizikal semata-mata. Ia mengintegrasikan, pengesahan identiti pekerja, penyimpanan rekod digital di dalam sistem CIMS CIDB, dan E-Wallet.
“Inisiatif ini membolehkan pekerja tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembayaran gaji secara tunai atau dokumen fizikal kerana identiti pekerjaan, kehadiran serta gaji mereka kini boleh diuruskan secara digital dan selamat.
Menurutnya lagi, pekerja memperoleh akses kepada ekosistem digital menyeluruh yang merangkumi, fungsi e-Wallet, pemindahan wang tempatan dan antarabangsa, pembayaran bil, tambah nilai mudah alih, ciri ganjaran (rewards) dan sistem kehadiran digital di tapak binaan.
“Ciri-ciri ini amat bermanfaat terutamanya kepada pekerja asing yang sering berdepan cabaran menerima gaji tepat pada masanya atau untuk menghantar wang ke negara asal.
“Melalui penyepaduan ini, urusan harian menjadi lebih mudah, pantas dan selamat.
Salah satu komponen utama sistem ini ialah e-Wages, yang memastikan pekerja menerima gaji yang adil, tepat pada masanya, dan boleh dijejaki.
“Majikan memuat naik data gaji melalui pemindahan pukal IBG daripada sistem penggajian mereka. Pembayaran kemudiannya dikreditkan ke dalam akaun maya setiap pekerja dan dipaparkan dalam E-Wallet,”katanya.
“Sistem ini adalah tanpa tunai, tepat dan selamat. Ia memastikan semua pembayaran gaji direkodkan dengan baik serta mematuhi peraturan buruh.
“Pendekatan ini dapat mengurangkan pertikaian gaji, meningkatkan pematuhan undang-undang dan menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) negara,”katanya lagi.
“CIDB melalui CLAB telah melaksanakan projek perintis fungsi e-Wages bersama lima syarikat pembinaan, melibatkan seramai 279 orang pekerja, iaitu WCT Berhad; RNC Integral Concrete Technology (M) Sdn Bhd; Can-I Interior Fit-Out Sdn Bhd; Symbolic Infotech Engineering Sdn Bhd; dan Yu Construction Sdn Bhd
“Aplikasi ini turut memperkenalkan ciri kehadiran digital di tapak binaan bagi menggantikan buku log manual dan rekod kehadiran yang tidak konsisten. Pekerja hanya perlu log masuk ke aplikasi, memilih menu ‘Kehadiran Tapak’, mengimbas kod QR tapak bina, dan kehadiran mereka direkodkan serta-merta.
“Ciri ini membantu untuk mengesahkan identiti semua personel di tapak bina, mengurangkan pengambilan pekerja tanpa dokumen, mempertingkatkan penguatkuasaan dan tadbir urus, serta
memperkukuh reputasi Malaysia dalam amalan buruh beretika.
“Secara ringkasnya, sistem kehadiran digital ini membolehkan kita mengetahui siapa yang berada di tapak binaan, di mana mereka berada, serta masa kehadiran dan keluar,” ujarnya.
“Dalam jangka masa panjang, data yang dikumpul melalui Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu akan disepadukan ke dalam Sistem Produktiviti Pembinaan (CPS) yang bakal diperkenalkan akan menyediakan maklumat berkaitan jumlah jam bekerja, pergerakan tenaga kerja binaan, trend produktiviti, pematuhan Kad Hijau, dan prestasi projek.
“Data ini akan menyumbang kepada perancangan yang lebih baik, ramalan yang lebih tepat serta keputusan yang lebih mantap oleh pihak kerajaan dan industri,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengumumkan bahawa Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak syarikat CIDB, akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan penggunaan sukarela ciri-ciri digital yang ditawarkan melalui kad Baharu ini.
“CLAB juga akan memperkukuh peranannya sebagai pusat sehenti pengurusan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan, bagi memastikan keperluan industri dipenuhi dengan pekerja yang sah, kompeten dan mematuhi keperluan keselamatan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Teknologi digunakan bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan, malah untuk melindungi pekerja, menaikkan standard industri dan membina kepercayaan dalam sektor pembinaan, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, semua kontraktor, pemaju dan organisasi industri diseru agar memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini, sambil menegaskan bahawa pendigitalan merupakan kunci ke arah ekosistem pembinaan Malaysia yang lebih selamat, telus dan berdaya saing.
Beliau merakamkan penghargaan kepada CIDB Malaysia atas kepimpinan dan wawasan yang ditonjolkan, serta mengucapkan terima kasih kepada CLAB, Bayo Pay dan MBSB Bank atas sumbangan dalam menyediakan asas teknologi bagi perkhidmatan e-Wallet.-SUARA.TV



