Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut (MPKTLRL) yang bersidang pada 17 November lalu, telah membuat keputusan mewajibkan semua pengunjung Taman Laut Malaysia untuk membawa pulang sampah masing-masing ke darat bermula 1 Januari depan.
Keputusan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi biodiversiti marin negara, kata Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Menurut beliau, ketetapan ini turut disokong wakil Kerajaan Negeri Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pemuliharaan marin.
“Langkah ini merupakan tindakan strategik kerajaan bagi mengurangkan pencemaran marin, khususnya sisa plastik yang dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada ekosistem laut.
“Pencemaran plastik telah menyebabkan kerosakan terumbu karang, kematian hidupan marin serta peningkatan mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan manusia dan keterjaminan makanan negara, ”katanya dalam kenyataan.
“Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari.
“Sehubungan itu, KPKM menyeru pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti setempat dan industri pelancongan untuk bersama-sama menjayakan kempen ‘Bawa Pulang Sampah Anda’.
“Kerjasama kolektif semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik serta kepentingan memelihara sumber makanan negara, ”katanya lagi.
Ujarnya, mesyuarat turut membentangkan inisiatif strategik berasaskan sains, iaitu Pemetaan Kawasan Penting Pesisir dan Marin Malaysia, yang bertujuan mengenal pasti serta memelihara kawasan sensitif seperti tapak pembiakan kritikal dan habitat terumbu karang yang terancam untuk pelaksanaan tindakan perlindungan yang lebih bersasar.
“KPKM menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap aspek konservasi marin dalam mempertimbangkan agihan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang diterima melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Peruntukan berkenaan wajar disalurkan secara fokus kepada inisiatif pemuliharaan berimpak tinggi yang menyokong pelaksanaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di peringkat negeri.
“Pendekatan ini penting bagi membantu negara mencapai sasaran 10% liputan MPA, selaras dengan agenda konservasi nasional dan antarabangsa.
“Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam hidupan laut, malah memberi kesan langsung kepada rantaian makanan dan kesejahteraan rakyat,”ujarnya lagi.
Tambahnya, dengan sokongan semua pihak, usaha pemeliharaan dapat diperkukuh bagi memastikan Taman Laut Malaysia kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
“Dengan pelaksanaan keputusan Majlis, pengukuhan inisiatif konservasi melalui EFT, serta sokongan menyeluruh semua pemegang taruh, usaha memelihara ekosistem marin negara dapat dipertingkatkan.
“Langkah ini merupakan komponen utama dalam memastikan keterjaminan makanan negara, kelestarian biodiversiti marin dan kesejahteraan generasi masa hadapan, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV



