Manifesto BN Sabah gariskan RPS1, enam teras pembangunan untuk rakyat

KOTA KINABALU — Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1), sebuah pelan pembangunan menyeluruh yang menetapkan enam teras utama bagi memacu ekonomi negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh tadbir urus negeri.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ketika membentangkan manifesto itu berkata RPS1 disusun dengan teliti bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat pembangunan.

“RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah,” katanya pada majlis pelancaran di Bangunan UMNO Sabah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai teras Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Salleh berkata BN komited menubuhkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang demi manfaat rakyat dan generasi masa depan.

Menurutnya, BN turut menyasarkan pembinaan 15,000 unit Rumah Sabahku setiap tahun untuk golongan B40 dan M40 serta mahu mewujudkan Dana Khas Baik Pulih Rumah bagi membantu mangsa bencana dalam kalangan B40.

“Selain itu, BN berjanji untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu bagi meningkatkan kapasiti sedia ada, di samping membuka Pelabuhan Baharu Kudat dengan mewujudkan kawasan Zon Perdagangan Bebas untuk memperkukuhkan Sabah sebagai Hab Ekonomi Serantau,” katanya.

Mengenai pemberdayaan wanita dan orang muda, Salleh berkata BN merancang menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah untuk menjaga hal ehwal pembangunan dan kebajikan wanita, kanak-kanak serta masyarakat.

“BN juga mahu mewujudkan Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah bagi membuka peluang ekonomi melalui Program Mentorship syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah,” katanya.

Bagi teras Pendidikan Berkualiti Untuk Semua, BN komited menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah daripada keluarga B40 di institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

“BN turut berhasrat memberikan insentif one-off sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di IPT awam dan IPT swasta,” katanya.

Di bawah teras Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Salleh berkata BN mahu menubuhkan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri bagi memantau dan mengawasi pelaksanaan terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk berkaitan hak-hak autonomi Sabah.

Sementara itu, menerusi teras Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan, BN menawarkan penubuhan Perkampungan Prihatin Komuniti – Sanggar Kasih untuk penjagaan warga emas serta Dana Sukarelawan Kesejahteraan Luar Bandar bagi menyokong sukarelawan kesihatan dan kebajikan.

Dalam teras Kelestarian Sumber Alam, Salleh berkata BN bercadang menubuhkan Majlis Petroleum Sabah bagi memelihara kepentingan negeri dalam sektor minyak dan gas serta melaksanakan dasar baharu mewajibkan sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga kerja mahir terdiri daripada anak Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat