KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kebimbangan dan saranan beliau bersama rakan seangkatan iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen terkait Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani baru-baru ini ada asasnya bahkan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul sendiri mengakui akan merundingkan semula perjanjian berkenaan.
Justeru Ahli Parlimen Pandan itu pelik dengan reaksi cybertroopers kerajaan yang mengecam dan memaki hamun mereka, bahkan ada yang suruh keluar PKR, meroyan sebab kalah pemilihan malah ada juga yang suruh jual nasi lemak saja.
Menurut Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi beliau dan juga Nik Nazmi dan Wong Chen hanya memberikan beberapa saranan untuk melindungi kedaulatan negara akibat dari kesan buruk perjanjian tarif dengan AS.
“Saya dan 2 lagi ahli Parlimen PKR, YB Setiawangsa Nik Nazmi dan YB Subang Wong Chen dikecam teruk oleh penyokong kerajaan apabila kami memberikan beberapa saranan untuk melindungi kedaulatan negara akibat dari kesan buruk perjanjian tarif dengan AS.
“Ada yang suruh keluar parti, ada yang kata kami meroyan sebab kalah pemilihan, ada yang suruh saya jual nasi lemak saja.
“Baru-baru ini, Menteri MITI Senator Tengku Zafrul yang bertanggungjawab merundingkan perjanjian ini, mengakui dalam podcast Keluar Sekejap, yang kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali perjanjian itu.
“Ini termasuk klausa yang kontroversi seperti klausa 5.1 berbanding klausa sama dengan Cambodia yang secara jelas melindungi kedaulatan negara itu.
“Saya berlapang dada kerana beberapa perkara yang diulas Tengku Zafrul tidak jauh dari saranan-saranan yang pernah kami buat. Ini termasuk persoalan kenapa perlu tergesa-gesa untuk menandatangani, yang diakui oleh Zafrul sebagai satu keputusan politik yang ada risiko tersendiri,” ujar Rafizi.
Selain itu katanya, begitu juga dengan saranan yang kita perlu semak dengan negara-negara serantau supaya perjanjian kita setara, supaya jangan sampai keadaan yang perjanjian Malaysia nampak terlalu memihak kepada AS berbanding negara-negara lain.
“Pengakuan Zafrul yang kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali beberapa perkara mengesahkan bahawa kebimbangan kami ada asasnya.
“Saya sekarang tunggu apa reaksi cybertroopers kerajaan yang selama beberapa minggu mengecam dan memaki hamun kami, di mana mereka apabila Zafrul sendiri mengesahkan perkara-perkara yang kami utarakan?
“Ini masalahnya apabila komunikasi dan silat politik PKR di-subkontrak kepada watak-watak yang hanya menyertai PKR selepas PKR menang. Sebahagian mereka sebelum ini dengan Pejuang, Pas dan Bersatu. Jadi mereka tidak pernah hadam budaya dalam PKR yang mana kesetiaan ahli parlimen adalah kepada rakyat.
“Jika ada perkara yang membawa risiko kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersuara, hatta menegur Perdana Menteri sendiri, tidak kira parti Perdana Menteri itu.
“Semangat inilah yang meletakkan PKR di depan membela rakyat dalam isu-isu besar negara seperti membongkarkan skandal-skandal seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, MARA dan LCS,” jelas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Rafizi lagi, semangat itu juga yang mendapat sokongan rakyat sehingga menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Kalau semangat ini luntur dalam PKR, terutamanya bila ada geng-geng lompat masuk parti yang beriya-iya membodek sehingga isu rakyat tidak boleh dibawa atas alasan jangan kritik kerajaan, lepas ini geng-geng ini kena cari parti baru sebab tak lamalah PKR akan jadi kerajaan,” bidas bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Pada 13 Nov lalu, tiga ahli parlimen kerajaan itu menggariskan beberapa cadangan untuk mengimbangi ART yang ditandatagani negara ini dengan AS dan dianggap mereka sebagai “berat sebelah”.



